Lambat sediakan makanan, anak pukul ibu dengan penyapu

September 14, 2018

Lambat sediakan makanan, anak pukul ibu dengan penyapu


Tergamak seorang anak lelaki memukul ibunya dengan penyapu hanya kerana mangsa lambat menyediakan makanan dan enggan memberikannya wang, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian pada jam 11 pagi, Selasa lalu di kediaman keluarga itu di Kampung Pengkalan Bongor, Kepala Batas, suspek yang berusia 35 tahun itu turut memukul adik lelakinya yang cuba menghalang dia dari terus memukul mangsa berusia 65 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian itu berlaku, mangsa mendakwa suspek yang merupakan anak kelimanya itu mengamuk dan memaki hamunnya. 

Suspek kemudian mengambil penyapu dan terus memukul kepala serta badannya sebelum membaling kerusi plastik ke arah adiknya. 

Mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan mendapati mangsa mengalami benjol bahagian kepala, cedera di belakang badan. Sementara itu adik suspek yang berusia 18 tahun itu calar di tangan kiri.

Tidak tahan dengan perangai suspek, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek. 

Menurut Noorzainy, suspek sebelum ini memang kerap mengamuk apabila gagal mendapatkan wang dari mangsa yang dipercayai digunakannya untuk membeli dadah. 

Bapa serta adik beradik suspek yang lain tidak berani melawan kerana suspek mudah mengamuk. Namun oleh kerana sudah tidak mampu menahan sabar dengan perangainya, keluarga suspek membuat laporan polis. 

Berdasarkan rekod, suspek memiliki dua rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan kesalahan dadah. Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Previous
Next Post »
0 Komentar