'Perjuangan UMNO sudah tidak selari dengan prinsip saya' - Tok Pa umum keluar parti

September 18, 2018

'Perjuangan UMNO sudah tidak selari dengan prinsip saya' - Tok Pa umum keluar parti


Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa mengumumkan keluar UMNO mengejutkan banyak pihak, sedangkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memenangi undi tertinggi dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO pada Jun lalu. 

Menurut Mustapa, beliau membuat keputusan itu setelah membuat beberapa pemerhatian terhadap lanskap politik negara, hala tuju UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta masa depan negara. 

"Berdasarkan kepada beberapa perkembangan muktahir ini, saya berpandangan usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar. 

"Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali menyakini perjuangan parti ini," katanya. 

Dalam kenyataannya juga, beliau berpendapat UMNO yang menjadi peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu dan Bumiputera semata-mata untuk kekal relevan. 

Bagi beliau, UMNO perlu menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah. Dalam masa yang sama, UMNO perlu terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam tanpa sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain. 

Malangnya, beliau merasakan hala tuju UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politiknya selama ini dan tidak banyak usaha yang dilakukan untuk melaksanakan proses rejuvenasi dalam UMNO. 

"Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Jeli, Kelantan dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang saya berkhidmat untuk UMNO, dari kepimpinan parti sehinggalah akar umbi," katanya. 

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiausaha agungnya, Tan Sri Annuar Musa akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu hari ini. 

"Apa yang Tok Pa lakukan hari ini merupakan pengkhianatan kepada kepercayaan parti. 

"Kalau ada maruah, sila letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Jeli, sebagai manusia yang ada maruah dan berprinsip," demikian kata Bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii. 

Menurut Mohd Razlan, mana-mana Ahli Parlimen atau wakil rakyat UMNO yang mahu mengikut jejak langkah Tok Pa adalah pengkhianat kepada perjuangan orang Melayu dan UMNO. 

Bagi Khairy Jamaluddin, beliau menyalahkan Presiden UMNO berhubung keputusan Tok Pa itu yang dikaitkan dengan tindakan UMNO cuba bekerjasama dengan PAS sehingga menyebabkan UMNO kehilangan sinarnya. 

"Saya telah bersuara dalam mengingatkan parti saya terhadap pakatan dengan PAS dan saya menanggung serangan dari dalam. 

"Sekarang, kita telah kehilangan sinar utama parti kita. Seorang pemimpin yang pintar dan baik. Ini semua salah kamu, Mr Presiden," katanya di Twitter. 

Previous
Next Post »
0 Komentar