Rider Ducati koma dirempuh 30 ekor lembu

September 14, 2018

Rider Ducati koma dirempuh 30 ekor lembu


Seorang penunggang motosikal Ducati Diavel, koma selepas dirempuh sekumpulan lembu ketika melalui kawasan Merang, Kuala Terengganu, berhampiran stesen minyak Petronas dalam kejadian jam 2 petang semalam, lapor Harian Metro

Mangsa, Anuar Abd Rahim, 49, berasal dari Kuala Lumpur, bersama dengan 20 lagi peserta konvoi dalam perjalanan ke Penarik, Setiu, dari Batu Rakit, untuk menikmati makan tengah hari. 

Isteri mangsa, Dewi Rosita Abdul Rahim, 48, berkata, ketika kejadian itu berlaku, dia berada pada jarak 10 meter di hadapan suaminya dengan menunggang motosikal jenis Ducati Monster.

"Saya dan suami berada di kedudukan paling belakang dalam konvoi, manakala semua peserta lain sudah melepasi kawasan itu dengan selamat.

"Sewaktu menunggang motosikal pada kelajuan sederhana, secara tiba-tiba sekawan lembu kira-kira 30 ekor yang berada di kiri jalan menyerbu ke arah kami.



"Saya dirempuh lembu dekat bahagian kaki kiri tetapi masih dapat mengawal motosikal daripada terjatuh," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Bagaimanapun nasib kurang baik menimpa suaminya kerana motosikalnya terjatuh akibat dirempuh sekumpulan haiwan berkenaan. 

Mangsa mengalami kecederaan parah dan pendarahan dalam otak, kedua-duanya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan.


Mangsa masih ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan belum sedarkan diri sehingga ke hari ini. 

"Doktor belum memaklumkan bila suami dibenarkan keluar dari hospital tetapi saya difahamkan ia bergantung kepada tahap perkembangan kesihatannya," katanya.

Menurut Dewi, sepanjang empat tahun mereka menyertai konvoi, inilah pertama kali mereka terbabit dalam kemalangan yang membabitkan sekumpulan haiwan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Previous
Next Post »
0 Komentar