'Saya mohon undur diri dari Kristal' - Lan

November 26, 2017

'Saya mohon undur diri dari Kristal' - Lan


"Dengan rasminya, saya mohon undur diri dari Kristal," demikian kata Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, yang tidak dapat menahan sebak ketika mengumumkan pengundurannya dari kumpulan Kristal, lapor Astro Awani

Lan mengakui dia membuat keputusan itu dengan berat hati dan sedih di atas isu yang timbul, sedangkan dia sangat menyayangi kumpulan Kristal. 

"Saya mohon maaf, saya tidak pernah buat hal dalam industri. Saya rasa sangat sedih dan saya sayang band saya, Kristal. Dengan rasminya, depan semua orang. Memang saya mohon untuk undur diri, lebih baik," katanya. 

Menurut Lan, sebelum ini dia tidak pernah berkata apa-apa jika ahli kumpulannya melakukan sesuatu tanpa mengadakan perbincangan bersama. Sebaliknya dia menganggap itu adalah rezeki masing-masing. 

"Saya hanya rancang nak buat projek solo. Tak pernah ada rasa langsung saya kata nak tinggalkan Kristal. Lagipun itu adalah projek sampingan, saya teringin untuk mencuba benda baru di samping mencari rezeki lebih baik untuk keluarga, bukan bermaksud tinggalkan Kristal. 

"Lagipun bukan saya saja, malah ada juga anggota lain yang buat projek solo. Selama ini saya mendiamkan diri dan tidak kisah pun jika menjadi ahli terakhir yang tahu tentang projek solo mereka. Sebab sebelum ini, kebiasaannya apabila mereka mahu melakukan sesuatu, memang tiada apa-apa perbincangan dan persetujuan secara rasminya.


"Jadi apabila saya menyuarakan tentang projek solo, mengapa saya yang dipersalahkan? Tapi tak mengapalah. Kalau saya yang sertai GV4 baru sebulan ini dituduh tunggul dalam satu kenyataan mereka, maka saya dah 18 tahun jadi tunggul dalam Kristal," katanya. 

Walau bagaimanapun, Lan juga berharap tiga anggota Kristal yang lain iaitu Rody, Kechiq dan Acap menghormati keputusannya.

"Saya harap mereka menghormati keputusan ini dan kepada para peminat, teruskan menyokong saya yang bergerak secara solo selepas ini dan kawan-kawan saya dalam Kristal," katanya. 

Terdahulu, Rody membuat pengumuman merehatkan Lan dari Kristal dan akan membuat ujibakat bagi mencari penyanyi baru untuk Kristal. Malah kata Rody dalam kenyataan yang lalu, tindakan Lan menyertai GV tanpa memaklumkan atau berbincang dengan Kristal seperti menganggap ahli kumpulan itu tunggul. 

Previous
Next Post »
0 Komentar