Jika anak bernafas dengan laju, segera bawa ke hospital

January 25, 2018

Jika anak bernafas dengan laju, segera bawa ke hospital


Ibu bapa dinasihatkan sentiasa memantau kesihatan anak-anak. Menurut doktor ini, beliau menerima ramai pesakit yang mengalami jangkitan kuman Virus Influenza A dan B kebelakangan ini dan adalah penting ibu bapa perlu tahu tanda-tanda anak dijangkiti penyakit ini.

ASSALAMUALAIKUM dan selamat pagi semua. Pagi ini nak kongsi tentang satu perkara yang ibu bapa perlu beri perhatian bila anak sudah mula demam dan batuk-batuk. 

IBU BAPA PERLU KENALPASTI TANDA-TANDA ANAK ADA JANGKITAN KUMAN DALAM PARU-PARU

Sekarang ini, ramai pesakit saya yang mengalami jangkitan kuman Virus Influenza A dan B. Setiap hari ada beberapa kes. Lebih banyak daripada biasa, sebab itu saya terpaksa screen influenza untuk kanak-kanak yang mengalami demam, batuk dan selesema. 

Sekiranya negative influenza test, bukan bermakna pesakit tidak ada jangkitan kuman. Tetapi mungkin result 'false negative' iaitu dia ada Influenza infection tetapi result test tidak berapa tepat. Namun, selain virus influenza, ada banyak lagi virus lain yang boleh menyerang kanak-kanak seperti RSV, Rhinovirus, Parainfluenza dan lain-lain yang boleh menyerang sistem pernafasan daripada hidung hingga paru-paru. 

Kebanyakan jangkitan kuman adalah disebabkan oleh virus (70-80%). Selebihnya barulah bakteria. Jadi perlu diingatkan, bukan semua jangkitan kuman dalam sistem pernafasan memerlukan antibiotik. 

Ingat pesanan saya, Antibiotik hanya jika doktor suspek ada jangkitan bakteria. 

Jika virus yang menyerang, selalunya tubuh kita mampu membunuh virus-virus itu dalam beberapa hari. Ketika tubuh berperang dengan virus, bermacam-macam simptom yang virus itu dah timbulkan seperti demam (boleh jadi suhu rendah atau tinggi), batuk-batuk (kering atau berkahak), selesema sakit tekak dan sakit-sakit badan. 

Namun selalunya ubat yang spesifik untuk membunuh virus tersebut tidak banyak. Yang ada cuma Anti Influenza seperti Osetalmivir. Selain daripada itu, seperti Rhinovirus dan RSV dll, belum ada rawatan khusus. 

Sangat penting untuk ibu bapa perhatikan tanda-tanda yang dialami oleh anak-anak. Jika selesema dan batuk-batuk, perhatikan dadanya. Jika berombak-ombak seperti dalam video di bawah, jangan tunggu 24 jam, bawalah segera ke hospital/ward emergency. 

Dalam minggu ini, ramai sangat pesakit yang datang dengan masalah bernafas kencang dan kurang level oksigen dalam darah (SpO yang normal lebih kepada 95%). Ada yang sudah lebih sehari anak bernafas laju tetapi tidak dibawa ke hospital. 


Tanda-tanda dalam video tersebut ialah 'Subcostal dan intercostal recession' yang menunjukkan bahawa saluran paru-paru anak sempit akibat keradangan yang disebabkan oleh kuman (virus or bacteria).

Saluran yang sempit ini menyukarkan paru-paru anak untuk berfungsi dengan baik untuk menukarkan gas oksigen dan karbon dioksida. Maka pesakit terpaksa bernafas dengan lebih laju untuk menambah kadar pertukaran oksigen sehingga paru-paru boleh menjadi penat (respiratory fatigue) dan pesakit akan kekurangan oksigen. Malah jantungnya akan berdegup kencang daripada biasa untuk menyalurkan oksigen yang cukup ke tubuhnya. 

Please, tak kisahlah nak bawa ke mana, ke klinik atau hospital yang berdekatan, yang penting jangan tunggu. Jika perlu masuk wad, tinggalkanlah perkara-perkara lain seperti kerja dan sewaktu dengannya. Nyawa anak lebih utama. 

Sekian pesanan kasih sayang daripada Doktor Anisa. Wassalam. 

Previous
Next Post »
0 Komentar