'Ah bagi RM2 je, orang meniaga ni banyak untung' - Bila tiba di rumah, dia pula yang rasa menyesal kerana berkira
Dua pengajaran dari kisah pelanggan dan peniaga karipap ini. Pertama, jangan sesekali bersangka buruk pada peniaga. Kedua, jangan pula berkira dalam apa jua perkara. Permudahkanlah urusan sesama manusia, inshaAllah urusan kita sendiri juga akan dipermudahkan.
Kisah yang ringkas, namun pengajarannya hebat jika dapat dibaca sambil dihayati dengan baik. Semoga kisah karipap ini menjadi iktibar buat kita semua.
SEMALAM pergi gerai, nak beli karipap. Tanyalah makcik itu berapa satu? Dia kata 50 sen sebiji. Saya cakaplah saya nak empat.
Masa nak bayar, di tangan ada RM5. Ingat nak bagi semua, tetapi suara hati kata, "Bagi dua ringgit je, orang meniaga ni banyak untung,". So tangan seluk poket, ambil RM2, bayar.
Balik ke rumah, buka plastik, tengok ada lima karipap. Allah, rupanya dalam kita berkira dengan dia, dia tak berkira pun dengan kita. Hitamnya hati saya!
Hari ini nekad, nak beli karipap makcik itu lagi dan nak bayar lebih. Bila sampai di gerai dia saya cakap, "Makcik, saya nak enam biji karipap,". Dia ambil dan letak.
Bila nak bayar, saya bagi dia RM5 dan dia nak bagi duit baki semula, saya kata, "Tak apa makcik, hadiah".
"Eh?? Jangan macam tu, ambillah," dia bersungguh menolak.
"Tak apa," saya tetap menolak.
Masa dia pegang duit itu, bibir dia ketap-ketap. Dia ucap terima kasih dan saya pun ucap terima kasih. Saya tak boleh lama-lama di situ sebab saya nampak dia macam nak menangis.
Apabila sampai di rumah, saya buka plastik dan saya kira. Ya, dia memang seorang yang pemurah. Dia bagi saya tujuh, sedangkan saya hanya minta enam. Allah.
Makcik ini mengajar saya sesuatu. Jika kita berkira dengna orang, bukan setakat orang saja yang akan berkira dengan kita tetapi Allah pun akan berkira dengan kita.
Mudahkanlah urusan sesama makhluk, nescaya Tuhanmu akan memudahkan urusanmu denganNya.
Sumber: Karyawan Bisu
0 Komentar