'Tiada jeritan, hanya mengalir air mata dan sebak' - Pasangan songsang dihukum sebat dikhalayak ramai

September 03, 2018

'Tiada jeritan, hanya mengalir air mata dan sebak' - Pasangan songsang dihukum sebat dikhalayak ramai


Dua wanita menjalani hukuman enam kali sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu setelah didapati bersalah melakukan hubungan sejenis dalam kereta pada April lalu.

Terdahulu tertuduh berusia 22 dan 32 tahun, yang didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah, mengaku salah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa cuba melakukan perhubungan seks di dalam kereta di Dataran Arena Square, Dungun, 1.50 tengah hari, pada 8 April lalu.

Pasangan kekasih songsang itu dihukum sebat masing-masing enam sebatan di khalayak umum di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syarie Terengganu, Rosdi Harun; dan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail dan disaksikan kira-kira 100 orang pada jam 10.10 pagi. 

Turut hadir bagi menyaksikan hukuman adalah ahli keluarga pesalah, wakil badan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media.

Beberapa pihak turut terlibat dalam pelaksanaan hukuman itu, iaitu pegawai perubatan, pegawai penjara dan juga kakitangan mahkamah.

Hukuman sebatan di khalayak umum yang dilaksanakan hari ini adalah yang pertama kali dilakukan di negeri ini.

Terdahulu, kedua-dua pesalah hadir ke mahkamah secara berasingan pada 8.30 pagi sebelum diarah menukar pakaian untuk menjalani hukuman yang dikendalikan pihak Jabatan Penjara Malaysia.

Kelibat pegawai penjara wanita berbadan besar dan tegap memegang rotan di tangan kanan mengundang debar pada mereka yang datang menyaksikan pelaksanaan hukuman ke atas dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis.

Selepas Hakim Syarie memberi kebenaran pelaksanaan hukuman, pegawai penjara memanggil nama tertuduh dan kemudiannya tertuduh di bawa ke hadapan pegawai penjara untuk mengesahkan identiti mereka seperti dalam rekod. Pegawai penjara juga bertanya kepada kedua-dua tertuduh, yang berbaju kurung dan bertudung putih, sama ada mereka ingin mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Selepas pegawai perubatan mengesahkan tahap kesihatan tertuduh dan tertuduh bersedia menerima hukuman sebat, tertuduh dibawa ke satu sudut bilik mahkamah dengan duduk di atas kerusi membelakangi mereka yang berada di galeri awam.

Muka tertuduh dipusing ke bahagian kanan manakala pegawai penjara yang melaksanakan hukuman berdiri di sebelah kiri.

Tertuduh pertama berusia 32 tahun itu dilihat mengalirkan air mata selepas hukuman rotan enam kali itu selesai tetapi tertuduh kedua (22 tahun) sebak seketika apabila menerima sebatan ketiga dan terpaksa dihentikan seketika sebelum menyambung tiga sebatan seterusnya.

Selain dikenakan hukuman sebat, kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

Apabila hukuman telah dijalankan, barulah mereka yang hadir sedar bahawa benarlah kata-kata Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail ketika di awal prosiding bahawa hukuman itu adalah berbentuk pengajaran dan bukannya untuk mencederakan.

Tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku, malah ketika rotan hinggap di tubuh badan tertuduh, tiada jeritan kedengaran kerana pegawai penjara itu masih perlu mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu menggunakan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala tertuduh.

Hukuman sebatan terhadap pasangan lesbian berkenaan membuktikan pihak berkuasa serius melaksanakan undang-undang membendung amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan hukuman itu yang buat kali pertama di Terengganu juga diharap dapat menjadi titik tolak membendung amalan LGBT serta pergaulan bebas secara lebih tegas.

Beliau berkata, golongan LGBT yang menentang hukuman berkenaan perlu memahami bahawa perlakuan songsang mereka bertentangan dengan hukum agama dan budaya masyarakat negara Islam dan perlu ditangani.

Sumber: Harian Metro

Previous
Next Post »
0 Komentar