'Benda tu nak mai, nak buat macam mana?' - Kes Covid-19 meningkat, MB Kedah kata tak boleh salahkan kerajaan negeri

October 07, 2020

'Benda tu nak mai, nak buat macam mana?' - Kes Covid-19 meningkat, MB Kedah kata tak boleh salahkan kerajaan negeri

Kedah semalam mencatatkan 153 kes baharu positif Covid-19 yang kebanyakannya dikesan di penjara Alor Setar. 


Bagi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor, kerajaan negeri tidak boleh dipersalahkan atas lonjakan kes itu kerana ia bukan sesuatu yang dijangkakan. 


"Kluster Tembok ni, orang kata Kedah tak pandai buat kerjalah, apa. Kita nak buat macam mana? Benda tu nak mai, benda tu tak nampak. 


"Kita bukan nak dosa apa, dia pandemik dan ada orang mati lebih banyak denggi, malaria, H1N1, taun, TB.. dan apa lagi yang tidak ada ubat nak merawatnya pun. 


"Lama-kelamaan kita kena terima Covid-19 ni ada di sekitar kita dan kita menimbulkan stigma yang berlebihan," katanya. 


Bercakap kepada pemberita di Wisma Darul Aman selepas mempengerusikan mesyuarat exco semalam, pesakit Covid-19 dilihat seperti orang yang melakukan dosa walaupun mereka tidak melakukan apa-apa apabila dijangkiti. 


Berbeza dengan pesakit HIV/AIDS yang telah diterima masyarakat walaupun mereka kemungkinan dijangkiti akibat aktiviti yang tidak bermoral. 


"Pandangan awam sekarang, seolah-olah orang yang positif Covid buat dosa dan patut dikecam, termasuk menteri agama pun orang kecam. Bukan dosa apa, dia terkena. 


"Siapa pun yang minta kena Covid? Tuan-tuan pun tak minta. Kalau di kalangan tuan-tuan ni ada yang kena Covid, bukan kehendak kita. 


"Kita buat kerja, tiba-tiba terkena kepada pandemik. Ini bukan Aids atau HIV (yang mana) antara penularan HIV ni (dari) seks songsang. Ini haram, tak boleh, dosa," katanya. 


Sumber: MalaysiaKini

Previous
Next Post »
0 Komentar