'Kenapalah percaya berita palsu...' - Orang ramai serbu 2 pasar raya selepas terperdaya dengan berita palsu kononnya TMJ nak 'belanja'

April 12, 2018

'Kenapalah percaya berita palsu...' - Orang ramai serbu 2 pasar raya selepas terperdaya dengan berita palsu kononnya TMJ nak 'belanja'


Ekoran berita Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan kejutan beramah mesra bersama rakyat di pusat beli-belah AEON Tebrau dan bermurah hati membayar segala perbelanjaan mereka, kini timbul pula dakwaan yang mengatakan TMJ akan melakukan perkara yang sama di dua buah pasar raya di negeri itu. 

Terdahulu, viral di media sosial sejak pagi tadi kononnya TMJ akan hadir ke pasar raya Econsave Pontian. Susulan viral itu, lebih 1,000 pengunjung datang membanjiri Econsave sejak ianya dibuka. 

Lebih teruk lagi, ramai pengunjung yang sudah siap memenuhkan troli masing-masing dan beratur panjang di kaunter bayaran. 





Malangnya, info viral yang diperolehi itu sebenarnya palsu. Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya terpaksa membuat pengumuman berkali-kali bahawa TMJ tidak akan datang ke Econsave Pontian, namun ramai yang tidak mempercayainya. 

Keadaan itu memaksa pihak Econsave Pontian terpaksa meminta bantuan pihak polis untuk mengawal keadaan yang tidak dijangkakan itu. 

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, berita itu diviralkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan menasihatkan orang ramai tidak mempercayai berita yang diviralkan. Sebaliknya merujuk pada pihak berwajib untuk mengesahkan berita tersebut. 

"Berkenaan kesesakan aliran trafik dan pihak polis telah ambil tindakan dengan mengaturkan anggota MPV dan trafik untuk mengawal aliran trafik dan memaklumkan kepada masyarakat yang berkumpul di pasaraya Econsave supaya bersurai," katanya. 

Dalam kejadian berasingan di AEON Kluang, kejadian yang sama berlaku di mana pasar raya itu dipenuhi dengan pengunjung yang turut dimaklumkan bahawa TMJ akan datang ke lokasi tersebut. 

Penyebaran berita palsu itu menyebabkan ramai pengunjung mengambil barang dan memenuhkan troli dengan harapan agar TMJ datang ke pasar raya itu. 







Sementara itu di media sosial, netizen mengecam tindakan tidak bertamadun individu-individu yang terlibat dan disifatkan sebagai tamak serta tidak mencerminkan sikap bersederhana rakyat Malaysia. 

"Teruknya perangai. Kasihan kakitangan pasar raya yang terpaksa kemas semula barang-barang yang telah diambil. Dasar manusia tak bersyukur, asyik nak barang free saja," kata netizen. 

Previous
Next Post »
0 Komentar