'Penternak babi pun susah juga' - ADUN DAP mohon kerajaan beri subsidi kepada penternak babi di Perak

July 18, 2022

'Penternak babi pun susah juga' - ADUN DAP mohon kerajaan beri subsidi kepada penternak babi di Perak



Harga daging babi dilaporkan semakin meningkat, mendorong seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tampil mencadangkan agar kerajaan negeri memberi subsidi kepada penternak babi. 


Chong Zhemin - DAP Keranji berkata, dalam tempoh enam bulan ini daging babi mengalami kenaikan harga sebanyak enam kali dari RM700 per 100 kilogram (kg) ke RM1,200. 


Beliau berkata, penternak babi juga terjejas dan mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak membantu. 


"Penternak babi ini pun susah juga, dalam masa enam bulan harga naik enam kali. Jadi, kenapa mereka ini tidak dibantu? 


"Saya cadangkan bagi setiap kilogram daging diberikan subsidi untuk membantu penternak," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Isnin. 


Turut berkongsi pendapat yang sama, Ahli DUN Pasir Pinjir, Howard Lee Chuan How (DAP) yang meminta kerajaan negeri memberikan subsidi dan bantuan kepada penternak babi. 


Bagaimanapun, Exco Perladangan Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakarian berkata, pihaknya tidak menerima sebarang rungutan dari penternak babi mengenai kenaikan harga itu. Malah, kerajaan negeri juga tidak merancang untuk menyediakan pakej bantuan kepada golongan berkenaan. 


"Daging khinzir bukanlah makanan keperluan seluruh rakyat. Setakat ini kadar sara diri pengeluaran (SSL) bagi daging babi di negeri ini ialah 284 peratus iaitu melebihi keperluan. 


"Ia berbeza dengan daging ayam dan sebab itu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil tindakan mengawal harga ayam dan memberikan subsidi," jelasnya. 


Menjawab soalan ADUN Keranji, Razman berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera untuk sektor ternakan melalui bantuan kepada penternak ruminan dan ayam kampung yang memenuhi syarat dan merupakan pengusaha secara kecil-kecilan.


Pakej tersebut merangkumi bantuan dari sudut penyediaan kursus dan pemberian peralatan secara percuma kepada peserta. 


Sumber: Sinar Harian

Previous
Next Post »
0 Komentar