'Suspek raba dada & kemaluan mangsa' - Wanita disamun & dicabul di Presint 9, Putrajaya

July 20, 2022

'Suspek raba dada & kemaluan mangsa' - Wanita disamun & dicabul di Presint 9, Putrajaya



Seorang wanita bujang mendakwa dirinya dicabul oleh lelaki berusia 20-an sebelum disamun dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.30 petang kelmarin di tempat koridor aras 9 Blok A, Fasa 10, Presint 9, Putrajaya. 


Menurut sumber, mangsa menyedari suspek mengekorinya dari tempat letak kereta Blok A sehingga ke lobi Blok B dan seterusnya ke tingkat 9. 


Curiga dengan keadaan itu, mangsa menegur suspek dan secara tiba-tiba suspek menolaknya ke dinding lalu merampas beg tangan. Suspek mengambil dompet mangsa dan melarikan diri melalui tangga. 


Mangsa cuba mengejar suspek sehingga ke tingkat 2 untuk mendapatkan barangannya. Tetapi suspek bertindak merampas telefon bimbit mangsa (iPhone 8) sebelum meraba bahagian dada dan kemaluan mangsa. 


"Mangsa meronta-ronta dan suspek bertindak menumbuknya di bahagian pipi kanan. Mangsa keluar dari tangga dan menjerit meminta pertolongan. 


"Seorang penghuni di tingkat dua yang terdengar jeritan itu, keluar dari rumah untuk menolong mangsa. Tetapi suspek berjaya melarikan diri," kata sumber. 


Mangsa berjaya mendapatkan semula dompet dan beg tangannya, tetapi wang tunai sebanyak RM300 telah diambil oleh suspek. 


"Mangsa tidak pernah melihat suspek sebelum ini. Paras rupa suspek berambut pendek, berkulit gelap, berbadan berisi, tinggi lebih kurang lima kaki, berpakaian baju t-shirt putih ketika kejadian, memakai seluar track berwarna hitam.


"Tiada saksi bebas yang melihat kejadian itu, tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian, malah cap jari di beg tangan mangsa tidak dapat dibuat kerana permukaan beg tangan yang kasar," ujarnya. 


Mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Putrajaya sebelum dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Previous
Next Post »
0 Komentar