(Video) Tiba-tiba muncul dan terus dirempuh

September 03, 2018

(Video) Tiba-tiba muncul dan terus dirempuh


Padah meluru ke jalan raya, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dikejarkan ke hospital selepas cedera dirempuh sebuah kereta BMW yang dipandu lelaki berusia 53 tahun.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Sabtu lalu di Green Park Road, Taichung, China, video rakaman 'dashcam' menunjukkan mangsa yang dikenali sebagai Wang, secara tiba-tiba muncul dari celah kereta di bahagian kiri menyebabkan pemandu terbabit tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa yang kemudian terpelanting beberapa meter ke depan. 

Ketika dirempuh, muka mangsa terhentak ke jalan dan terseret sebelum terhantuk pada tayar sebuah kereta yang diparkirkan di tepi jalan. 


Ibu bapanya yang menyedari kejadian itu segera mendapatkan mangsa yang sudah tidak sedarkan diri dan segera menghubungi polis dan ambulans untuk meminta bantuan. 

Mangsa dikejarkan ke Hospital Kanak-kanak dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini keadaannya dilaporkan stabil. 

Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami kesan calar di kepala, tangan, lutut dan beberapa lagi bahagian badannya yang lain. 

Doktor tidak menolak kemungkinan mangsa mengalami pendarahan dalam otak yang boleh menyebabkannya kesan lebih teruk. Namun, Wang memberikan respon yang positif dan akan sembuh sepenuhnya.






Sementara itu, Pakar Neurologi Taichung, Li Xudong yang menggulas mengenai video kejadian itu berkata, tindakan pasangan suami isteri itu yang terus mengangkat mangsa sangat berisiko tinggi untuk menambahkan lagi kecederaannya. 

Menurut Li, pasangan itu sepatutnya berhati-hati mengangkat mangsa dari bahagian leher. Sekiranya mangsa masih sedar, tanya di bahagian mana yang sakit dan jika sebaliknya, lakukan bantuan pernafasan (CPR) untuk menyelamatkan mangsa. 

Dari segi undang-undang, ibu bapa Wang boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Peraturan Keselamatan Trafik, Artikel 78 Peraturan dan Hukuman Kesalahan Trafik yang menetapkan individu berusia 14 tahun ke bawah tidak boleh melintas tanpa kebenaran. Jika didapati melakukan kesalahan itu, pelaku boleh didenda 300 Yuan (RM181). 

Di media sosial, netizen berharap mangsa cepat sembuh dan pemandu BMW itu tidak dikenakan tindakan undang-undang. 

Previous
Next Post »
0 Komentar