Penumpang warga emas buka pintu kecemasan sebab tak sabar nak keluar dari pesawat

May 09, 2019

Penumpang warga emas buka pintu kecemasan sebab tak sabar nak keluar dari pesawat


Seorang lelaki warga emas yang baru pertama kali menaiki pesawat komersial ditahan selama 10 hari oleh pihak berkuasa di Zhejiang, China selepas dia membuka pintu kecemasan pesawat kerana mahu memotong barisan untuk keluar dari pesawat itu lebih cepat. 

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Song, 65, menaiki penerbangan Shandong Airlines dari Jinan ke Shanghai bersama keluarganya pada 21 April lalu. 

Menurut portal media tempatan, The Paper, Song gagal bersabar ketika menunggu giliran untuk keluar dari pesawat lalu bertindak membuka pintu kecemasan yang berada di sebelah tempat duduknya. 

"Saya tarik tuil itu dan terus membukanya," kata Song. 

Bagaimanapun dia membatalkan hasratnya itu kerana tiada tangga untuk turun sebelum dia dikerumuni oleh kakitangan pesawat dan pegawai keselamatan lapangan terbang. 

Akibatnya, Song ditahan dan ketika disoal siasat, Song memaklumkan itu adalah kali pertama dia menaiki kapal terbang serta tidak tahu bahawa tindakannya itu adalah salah meskipun tertera dengan jelas yang pintu itu dibuka sekiranya berlaku kecemasan. 

Kakitangan pesawat tidak dapat menutup pintu kecemasan itu, sekali gus merencatkan jadual penerbangan yang seterusnya. 

Insiden itu mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial China, Weibo. 

"Dia langsung tidak bersalah. Tak kisahlah dia baru pertama kali ke apa tetapi kakitangan pesawat perlu sentiasa mengingatkan penumpang bahawa pintu kecemasan tidak boleh dibuka sesuka hati," kata netizen. 

"Tak sabar nak keluar, dia langsung tak fikirkan keselamatan penumpang lain," kata netizen lain.

Previous
Next Post »
0 Komentar