'Baru nak jamah makanan tetiba muka kena tendang sampai patah rahang'

October 08, 2020

'Baru nak jamah makanan tetiba muka kena tendang sampai patah rahang'

Baru saja hendak menjamah makanan, tiba-tiba muka ditendang sehingga menyebabkan pelajar lelaki tingkatan tiga ini patah rahang. 


Kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 12 tengah malam Ahad (4/10/2020) di sebuah sekolah agama persendirian di Tok Keling, Jalan datuk Kumbar, Alor Setar.


Mangsa, Muhammad Shukur Mohamad Sobri, 15, berkata, sebelum itu dia bersama dengan adiknya, Muhamad Fitri, 13, berada di dewan makan. Sebaik saja hendak menjamah makanan, tiba-tiba mukanya ditendang dengan kuat oleh seorang pelajar.


Tendangan itu menyebabkan pipi sebelah kiri muka bengkak dan rahang mulutnya patah. 


"Saya baru nak menjamah makanan, tiba-tiba seorang pelajar tendang muka sehingga menyebabkan pendarahan. Mulut saya kemudiannya terasa kebas sebelum terdengar ada bunyi tulang patah ketika cuba membuka mulut," katanya. 


Shukur berkata, pelajar itu cuba memukulnya lagi tetapi tidak jadi selepas adiknya berlari memberitahu kakaknya mengenai kejadian itu.


Adiknya yang turut menyaksikan kejadian itu di mana mulut abangnya berdarah sebelum dibawa ke sinki untuk membersihkan darahnya yang begitu banyak sehingga berlumuran dari tangga asrama hingga ke longkang belakang sekolah.


Fitri dan Shukur pada awalnya mahu merahsiakan perkara itu dari pengetahuan keluarga, namun kakaknya memaklumkan dia telah memberitahu kejadian itu kepada bapa mereka. 


Akibat dari kejadian itu, Shukur mengalami bengkak teruk di pipi kiri dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim, Isnin lalu. 


Difahamkan, kejadian itu berlaku berpunca dari salah faham yang menyebabkan pelajar itu tidak berpuas hati dengan Shukur.


Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Sobri Abdul Manaf, 46, berkata, itu bukan kali pertama anaknya dibuli di sekolah itu di mana sebelum ini Shukur pernah dipukul tetapi tidak mengalami kecederaan serius. 


Lebih membuatkan Sobri tidak berpuas hati apabila pihak sekolah hanya memaklumkan anaknya terjatuh daripada tangga menjadi punca rahangnya cedera, berbeza dengan apa yang dimaklumkan oleh anak perempuannya. 


Sobri kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Yan pada Isnin dan membawa Shukur ke hospital bagi membetulkan rahang dan memasukkan besi.


Bukan itu sahaja, nelayan itu turut mendedahkan pihak sekolah meminta dia menarik balik laporan polis yang telah dibuat tetapi tidak diendahkan kerana dia mahu pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut ke atas pelajar terbabit. 


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Astro Awani, Harian Metro

Previous
Next Post »
0 Komentar