'Tiada belas kasihan bagi anggota yang berani cemarkan imej PDRM' - tegas KPN

October 09, 2020

'Tiada belas kasihan bagi anggota yang berani cemarkan imej PDRM' - tegas KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan apa jua kesalahan yang dilakukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Ini juga termasuk pegawai dan anggotanya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disiasat kerana disyaki terbabit dalam sindiket Macau Scam dan perjudian, baru-baru ini. 


Beliau juga telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menggandakan lagi usaha bagi mengekang jenayah di dalam kalangan anggotanya. 


"Tidak ada belas kasihan bagi mereka yang berani mencemarkan imej pasukan polis," katanya yang mengulas penangkapan beberapa anggota dan pegawainya oleh SPRM. 


Malah, Abdul Hamid menyambut baik tindakan SPRM itu dan akan memberi kerjasama sepenuhnya. 


Sementara itu, Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan terhadap semua pegawai dan anggota terbabit telah mula dijalankan sama ada mereka melindungi, menerima habuan atau lain-lain. 


JIPS juga akan menyiasat gaya hidup serta pemilikan aset mereka sama ada setimpal atau tidak dengan pangkat dan jawatan. 


PDRM amat memandang serius terhadap penglibatan pegawai tersebut dan tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap mereka yang didapati melanggar disiplin pasukan. 


Difahamkan, antara pegawai dan anggota yang ditahan oleh SPRM adalah yang berpangkat Asisten Komisioner, Superintendan, Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan serta Lans Koperal.


Sumber: Sinar Harian


LAPORAN BERKAITAN

Previous
Next Post »
0 Komentar