Bapa rogol anak, rayu diringankan hukuman kerana perlu jaga adik OKU
Mahkamah Sesyen Alor Setar menjatuhkan hukuman penjara 28 tahun dan 25 sebatan terhadap seorang pengutip besi buruk selepas dia mengaku bersalah di atas tiga pertuduhan merogol dan mencabul anak kandungnya berusia 12 tahun di Pendang antara September dan Oktober lalu, lapor Harian Metro.
Tertuduh berusia 42 tahun mengaku bersalah pada prosiding yang dijalankan secara berasingan di hadapan Hakim Juraidah Abbas dan Hakim Azman Abu Hassan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya di sebuah rumah di Pendang pada malam 18 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama di lokasi yang sama pada penghujung Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Juraidah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan itu.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa di lokasi yang sama pada September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Azman kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan.
Bagaimanapun, tertuduh yang sudah bercerai sejak 10 tahun lalu merayu mahkamah meringankan hukuman kerana dia masih perlu menanggung adik perempuannya yang merupakan OKU berusia 30-an.
Pihak pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertutudh adalah jenayah berat.
Hukuman penjara bagi kesalahan merogol dan cabul berjalan berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditahan polis sejak 2 November lalu.
0 Komentar