Berang diberi markah SKT rendah, penjawat awam cuba serang penyelia dengan parang
Berang diberi markah Sasaran Kerja Tahunan (SKT) rendah berbanding tahun lalu mendorong seorang lelaki cuba menyerang penyelia wantia dengan parang, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.15 petang Khamis lalu di sebuah agensi kerajaan di Limbang, Sarawak, suspek berusia 31 tahun datang ke pejabat dalam keadaan marah dan cuba menyerang mangsa dengan parang.
Bagaimanapun, tindakan suspek itu sempat dihalang oleh seorang kakitangan lelaki yang berada di tempat kejadian sebelum suspek meninggalkan pejabat tersebut.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai menghunus parang itu kepada penyelianya yang berusia 34 tahun dan turut disaksikan oleh beberapa kakitangan lain.
"Mujur seorang lelaki yang juga kakitangan pejabat itu berjaya menghalang suspek sebelum suspek meninggalkan tempat kejadian,” katanya.
Difahamkan, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan markah SKT yang diberikan penyelia itu sebanyak 80 peratus berbanding 87 peratus sebelum ini.
Suspek yang bekerja di bawah seliaan mangsa itu sejak dua tahun lalu juga merupakan seorang yang panas baran dan sukar menerima teguran dari pegawai atasan. Suspek dan mangsa juga dikatakan pernah berselisihan faham tetapi kes itu sudah selesai.
Mangsa yang bimbang dengan keselamatan dirinya membuat laporan polis di Balai Polis Limbang pada pagi semalam.
Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek pada jam 12.35 tengah hari semalam di Kampung Patiambun, Limbang. Polis turut merampas sebilah parang berukuran 42.5 sentimeter berserta sarung kayu berwarna coklat dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
0 Komentar