Gadis maut dipukul jiran yang cuba merogolnya
Remaja perempuan berusia 14 tahun maut dipercayai dipukul oleh jirannya yang didakwa cuba merogol mangsa di kawasan kebun pokok buluh, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian Rabu lalu di Pulau Gaya, Semporna, Sabah, mangsa, Amalin Julmin, ditemui pada jam 3 petang oleh ibu saudaranya dalam keadaan berlumuran darah di lokasi kejadian kira-kira 100 meter dari rumah ibu saudaranya itu.
Mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan separuh sedar kemudian dihantar ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan kerana kecederaan parah di bahagian kepalanya. Namun, Amalin disahkan meninggal dunia pada jam 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, ibu saudaranya menyedari Amalin tiada di rumah selepas dia pulang dari membeli ikan, lalu meminta bantuan orang kampung untuk mencari mangsa.
"Sejam selepas itu, wanita itu menemui mangsa di kawasan kebun pokok buluh dalam keadaan berlumuran darah dan separuh sedar.
"Ketika itu, ibu saudara bertanya kepada mangsa siapa yang mencederakannya, sebelum mangsa menjawab jirannya,” katanya..
Bagaimanapun, suspek berusia 19 tahun itu membuat laporan polis untuk menafikan dakwaan mangsa. Suspek juga telah ditahan sebaik saja selesai membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Siasatan polis di tempat kejadian mendapati, terdapat tiga kesan tompokan darah. Polis juga merampas sebilah parang panjang yang patah dan tidak menolak kemungkinan motif kejadian suspek cuba merogol mangsa, lalu memukulnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
0 Komentar