Lempar kotak air zam zam, Pos Aviation gantung tugas kakitangan terbabit
Susulan viral video seorang kakitangan Pos Aviation melempar kotak-kotak air zam zam milik jemaah umrah, Pos Malaysia telah mengarahkan kakitangan terbabit digantung tugas buat sementara waktu.
Dalam kenyataan media yang disiarkan di Facebook Pos Malaysia jam 5.30 petang tadi itu juga memberi penjelasan mengapa kakitangan berkenaan berbuat demikian.
"Siasatan awal mendapat punca utama insiden tersebut adalah disebabkan kesesakan teruk di bahagian karusel bagasi dan perlakuan tersebut sebenarnya dibuat bagi mempercepatkan proses muat turun kotak tersebut.
"Walaubagaimanapun, kakitangan tersebut telah digantung tugas dan kami memohon maaf di atas kejadian terpencil tersebut.
"Kami amat mengambil berat tentang pengendalian barangan pelanggan dan tindakan susulan akan diambil setelah siasatan selesai dijalankan.
"Pos Aviation bertekad untuk memastikan kualiti perkhidmatan kami berada di tahap tertinggi dari segi kerja, etika professional dan khidmat pelanggan yang ditutun dalam industri," kata kenyataan itu.
Meskipun kenyataan media itu sama seperti penjelasan yang diberikan oleh seorang individu yang dipercayai kakitangan Pos Aviation pada awal video itu viral, netizen tetap tidak bersetuju dengan cara pengendalian seperti itu.
Menjawab komen netizen, Pos Malaysia memberi jaminan kejadian seperti itu tidak akan berulang di masa akan datang dan cara kerja kakitangannya juga akan diperbaiki.
Terdahulu, video kejadian itu viral di media sosial menunjukkan seorang kakitangan Pos Aviation melempar kotak air zam zam sehingga menimbulkan rasa kesal orang ramai. Ramai yang tidak bersetuju dengan cara kerja kakitangan terbabit dan meminta pihak bertanggungjawab tampil memberi penjelasan.
BERITA BERKAITAN:
0 Komentar