Nelayan curi 47 keping coklat Cadbury, 2 botol Listerine bernilai RM407 dipenjara 12 bulan, denda RM1,000
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dan denda RM1,000 terhadap seorang nelayan yang mengaku bersalah di atas pertuduhan mencuri 47 keping coklat dan dua botol pencuci mulut di sebuah pasar raya, lapor Berita Harian.
Majistret Stephanie Sharron Abbie, memerintahkan tertuduh, Ibno Hashim Asmad, 39, yang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda yang dikenakan, hukuman tambahan selama enam bulan penjara akan dikenakan terhadapnya.
Dalam kejadian jam 9.30 malam 7 Disember lalu di Pasaraya Servay KK Plaza, Ibno didakwa mencuri coklat Cadbury dan pencuci mulut jenama Listerine bernilai RM407.29.
Ibno didakwa memasukkan kesemua barangan itu di dalam beg sandang sebelum disedari oleh pengawal keselamatan pasar raya tersebut yang curiga dengan kelakuan tertuduh yang kemudian menghampirinya, lalu berlaku pergelutan di antara mereka.
Ibno berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu dalam sebuah kes berasingan yang dibicarakan di mahkamah sama, seorang lelaki warga emas dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan kerana mencuri ubat jenis Pristin Omega-3 Fish Oil bernilai RM376.82 dari sebuah farmasi di Taipan, Inanam.
Vun Chau Lin, 58, yang tidak diwakili peguam, dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.52 petang, 7 Disember lalu, diarahkan menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap.
0 Komentar