'Pelatih polis dihidang makanan rosak, tandas, lampu dan lif juga menyedihkan' - MP DAP
"Jika kita tak boleh menjaga polis, bagaimana kita mahu mereka menjaga negara? Ini logik mudah," demikian kata Anggota Parlimen Kapar, Thomas Su kepada media yang mendedahkan beliau bersama Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menerima rungutan dari pelatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dua anggota parlimen DAP itu mendakwa mereka menerima rungutan daripada pelatih di mana tandas tidak boleh digunakan, lampu dalam keadaan menyedihkan dan lif di sejumlah bangunan PULAPOL rosak sejak dua tahun lalu.
Dari segi bekalan makanan, pembekal didakwa membekalkan ikan dan ayam yang rosak. Sebanyak tiga kes keracunan makanan yang berlaku pada tahun ini menyebabkan ramai pelatih terjejas dan perlu mendapatkan rawatan di hospital.
"Pembekal membekalkan ikan dan ayam yang rosak. Ini bukan kali pertama, tetapi kementerian dalam negeri (KDN) tetap menggunakan pembekal sama.
"Mengapa ini berlaku? KDN perlu beri penjelasan. Saya harap kabinet dapat melihat perkara ini. Bayangkan ini adalah tempat kita melatih bakal ketua polis negara," katanya kepada media di Parlimen hari ini.
Lim menegaskan, dia bukan mengkritik polis tetapi hanya menyampaikan pandangan pegawai polis kanan yang menghubunginya berhubung perkara itu.
Sumber: MalaysiaKini
0 Komentar