'Selagi orang putih masih hidup, mereka (umat Islam) takkan dapat menjajah tanah kita' - Suspek
Viral di media sosial rakaman video seorang lelaki bersenjata menembak secara rambang pada jemaah yang sedang bersedia untuk bersolat Jumaat di sebuah masjid di bandar Christchurch, New Zealand.
Difahamkan, suspek membuat rakaman video itu secara 'live' di Facebook di Masjid al Noor pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan).
Menurut pihak berkuasa New Zealand, seramai enam orang dilaporkan maut, manakala berpuluh lagi mangsa cedera.
Susulan kejadian itu, polis telah mengepung bandar tersebut bagi memburu suspek dipercayai warga Australia yang berpakaian celoreng dan bersenjatakan raifal automatik.
Pihak berkuasa juga menerima laporan berlaku serangan bom kereta di beberapa masjid lain di bandar itu.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand memaklumkan, seorang rakyat Malaysia cedera dalam kejadian itu dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurang 40 orang terbunuh ditembak oleh suspek, Brenton Tarrant, 28, manakala 20 lagi cedera.
Setakat ini, polis telah menahan tiga individu termasuk Tarrant dan seorang wanita.
Siasatan awal polis mendapati, suspek mengaku berbuat demikian kerana mendapat inspirasi dari penjenayah dari Norway, Anders Behring Breivik, yang membunuh 77 orang dalam kejadian 2011.
Tarrant turut memuat naik manifesto mengapa dia bertindak demikian dalam dokumen yang mengandungi 73 muka surat, The Great Replacement, sebelum melakukan serangan tersebut.
Sumber: Harian Metro, Daily Mail
0 Komentar