'Kami patuhi SOP, beri ruang untuk saya selesaikan hal ini' - Neelofa
Pengacara popular, Neelofa, 32, tampil menepis segala dakwaan di media sosial dengan menegaskan bahawa kedatangannya ke Pulau Langkawi telah dirancang lebih awal sebulan, bukannya untuk berbulan madu bersama suaminya, Haris Ismail.
"Segala kerja yang saya lakukan sudah dirancang awal sebulan atau lebih. Keputusan kerja bukanlah dibuat secara spontan," katanya kepada media hari ini.
Sebelum ini, Neelofa dan Haris menjadi tumpuan netizen apabila gambar mereka melakukan aktiviti santai di pulau peranginan itu viral di media sosial sehingga menimbulkan persoalan apakah pasangan baru berkahwin itu benar-benar pergi ke lokasi itu untuk urusan perniagaan atau berbulan madu.
Gambar tersebut turut menarik perhatian pihak polis di mana Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya mereka didapati melanggar SOP yang ditetapkan.
"Mereka kena jawab, tapi gambar itu macam aktiviti santai-santai sahaja. Jelas ia tidak boleh dilakukan dan telah melanggar SOP. Sebabnya dia datang dari kawasan PKPB ke PKPP," kata beliau.
Namun Neelofa menegaskan dia dan suami sememangnya datang atas urusan kerja dan telah mendapat kebenaran dari pihak polis.
"Saya ingin menyelesaikan semua perkara berkaitan kerja sebelum Ramadan ini. Syukur semuanya sudah berjaya dilunaskan. Sepanjang berada di sana, kami juga mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.
Neelofa juga memberi jaminan dia akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis berhubung siasatan mengenai majlis pernikahannya pada 27 Mac 2021 yang didakwa tidak mematuhi SOP. Tetapi meminta semua pihak memberikan ruang kepadanya untuk menyelesaikan masalah itu dengan baik dan tenang tanpa tekanan.
"Saya juga nak minta kepada rakan media yang lama saya kenal untuk berikan ruang supaya saya boleh selesaikan hal ini secara profesional bersama dengan pihak yang berkenaan," katanya.
Sumber: Harian Metro
0 Komentar