'Pemberian motosikal RM4,500 kepada rider Food Panda itu hanyalah perkara biasa' - Pensyarah UUM ingatkan YB Steven Sim tak perlu sensasikan pemberian bantuan

April 19, 2021

'Pemberian motosikal RM4,500 kepada rider Food Panda itu hanyalah perkara biasa' - Pensyarah UUM ingatkan YB Steven Sim tak perlu sensasikan pemberian bantuan


Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, menjadi bualan hangat di media sosial kerana tindakan pantasnya menghulurkan bantuan kepada ibu 10 anak yang kehilangan tempat tinggal, mencari tempat tinggal untuk seorang gelandangan yang sering tidur di kaki lima dan membeli sebuah motosikal untuk penghantar makanan yang selama ini hanya menggunakan basikal untuk menghantar pesanan pelanggan. 


Ramai yang terharu dan memuji usaha Steven Sim membantu golongan susah, termasuk mereka yang tidak pernah dikongsikan ceritanya di dalam media sosial rasminya. 


Bagaimanapun, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, dia berasa tidak selesa melihat perkara itu dan mendakwa Steven Sim seperti sengaja mahu mensensasikan hal itu untuk mendapatkan publisiti melalui penceritaan panjang dengan menggunakan ayat-ayat yang boleh mencetuskan emosi, dikaitkan dengan Ramadan dan gambar-gambar yang katanya telah dirancang dari awal. 


Bagi Dr Kamarul, pemberian motosikal berharga RM4,500 Steven Sim kepada penghantar makanan berusia 22 tahun itu pada 13 April lalu adalah perkara biasa sahaja. 


"Saya berpendapat bahawa pemberian motosikal ini tidak sepatutnya disensasikan kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu Islam seolah-olah mereka, khususnya warga Kelantan, mengabaikan kebajikan pekerja Food Panda dari Kelantan yang didakwa bekerja dengan gaji RM500 sebulan di Pulau Pinang. 


"Perkara ini menjadi sensitif kerana seperti sengaja mahu ditonjolkan secara berlebihan tindakan Steven Sim, seorang Cina, membantu lelaki Melayu Islam, sedangkan bukannya tidak ada Cina lain yang hidup melarat. Tetapi mengapa Melayu Islam yang dipilih untuk disensasikan ceritanya? Seolah-olah ada tujuan tertentu di sebaliknya. 


"Saya sendiri biasa menderma kepada orang bukan Melayu Islam, termasuk memberi RM5,500 kepada seorang pelajar Cina di Kepong yang gagal mendapat bantuan kewangan dari DAP pada 7 Mac lalu. Tetapi sengaja tidak menghebahkan dan mensensasikannya kerana saya sedar perkara ini agak sensitif. 


"Apa yang saya ingatkan hanyalah supaya mereka tidak terlalu memuja-muji secara berlebihan pemberian ini. Saya juga mengingatkan Steven Sim supaya sekadar membuat penghebahan biasa dan tidak terlalu mensensasikan untuk publisiti pemberian bantuannya kepada orang Melayu Islam kerana ia boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu Islam dan seterusnya boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama," katanya. 


Sementara itu, Steven Sim berasa sedih dengan kenyataan Dr Kamarul yang mempertikaikan usahanya membantu golongan susah dengan memberi peringatan kepada umat Islam agar berhati-hati menerima bantuan dari mubaligh Kristian. 


"Saya seorang wakil rakyat, tugas saya untuk membantu rakyat susah di kawasan saya tanpa mengira kaum dan agama. Saya bantu bukan kerana saya hebat atau kaya, ramai lagi yang jauh lebih hebat dan pandai daripada saya. Jauh sekali keluarga saya boleh dianggap sebagai kaya. 


"Tapi semua ini saya buat demi menunaikan amanah berat yang telah diberikan. Orang yang saya bantu ada Cina, Melayu, India, bahkan kawan-kawan di Sabah dan Sarawak sana. 


"Ada yang kata saya ada agenda agama. Mengapa perlu libatkan agama saya? Bagiku agamaku, bagimu agamamu. Harapan saya ialah, yang Islam menjadi Muslim yang lebih baik, yang Kristian menjadi Kristian yang lebih baik, yang Buddha menjadi Buddha yang lebih baik, yang Hindu menjadi Hindu yang lebih baik. Kita semua jadi manusia yang lebih baik, nescaya Malaysiaku aman sentosa. 


"Sudah cukuplah rakyat menderita akibat wabak Covid-19. Mengapa mereka bersungguh-sungguh nak memecah-belahkan rakyat Malaysia? Mengapa perlu api-apikan sentimen kaum dan agama? 


"Saya tetap akan membantu semua tanpa mengira kaum dan agama. Ini ikrar saya dulu semasa dipilih sebagai wakil rakyat," katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasminya. 


Sumber: MalaysiaKini

Previous
Next Post »
0 Komentar