'Video CCTV tidak begitu jelas' - Polis buru suspek curi beras 10kg & sekotak susu di premis makanan
Polis sedang memburu seorang lelaki yang dilaporkan mencuri sekampit beras dan susu setelah memecah masuk sebuah kedai makan di Jalan Indah, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, suspek yang menaiki motosikal memecah masuk premis tersebut pada jam 4.15 pagi.
Berdasarkan siasatan awal, suspek melakukan kerja itu bersendirian dan barangan yang dilaporkan hilang adalah seperti sekampit beras 10 kilogram dan sekotak susu.
Difahamkan, premis itu pernah dipercah masuk sebelum ini yang membabitkan kehilangan tabung anak yatim.
"Pihak polis ada menerima laporan dari mangsa, tetapi setakat ini masih belum ada tangkapan dibuat.
"Siasatan lanjut masih dilakukan termasuk penelitian menerusi rakaman kamera litar tertutup. Namun rakaman yang diperolehi itu tidak beberapa jelas," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda jika didapati bersalah. Bagi mana-mana kesalahan yang dilakukan kali kedua, pelaku boleh dikenakan denda atau sebatan.
Sumber: Kosmo
0 Komentar