'Saya maafkan sesiapa saja, orang di luar mungkin boleh nilai sendiri' - Ebit Lew
Sesi merakam keterangan pendakwah Ebit Lew dengan pihak polis Bukit Aman berhubung kes gangguan seksual mengambil masa selama lima jam sebelum lelaki itu dibenarkan keluar pada jam 2 petang.
Berkata kepada media, Ebit memaafkan sesiapa sahaja yang terbabit dengan isu itu dan perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus membantu masyarakat sehingga akhir hayatnya.
"Alhamdulillah syukur, Allah SWT menentukan segala-galanya. Saya percaya hidup ini hanya satu tujuan untuk Allah sayang. Saya maafkan sesiapa saja dengan apa yang terjadi. Orang di luar sana mungkin boleh nilai sendiri.
"Saya dipanggil bagi membantu siasatan atas tuduhan gosip di luar sana. Saya serahkan kepada polis sepenuhnya," katanya.
Peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang proses rakaman keterangan yang berjalan lebih satu jam.
"Polis ada menyatakan beberapa seksyen untuk siasatan kes berkenaan namun belum memberikan seksyen sewajarnya untuk siasatan kes ini. Setakat ini, polis memaklumkan tiada keperluan untuk memanggil semula anak guam saya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siasatan akan diteruskan sehingga pihaknya berpuas hati untuk merujuk kes tersebut kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.
Dalam masa sama, beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi yang boleh mengganggu siasatan polis. Penyebaran sebarang bahan berkaitan juga tidak dibenarkan kerana dikhuariti akan menjejaskan siasatan pihaknya.
Sumber: Harian Metro
0 Komentar