Suami cederakan isteri sebab bengang ditegur kerap pulang lewat & tak izinkan periksa handphone
Polis menahan reman seorang lelaki yang didakwa telah mencederakan isterinya dalam pergaduhan rumah tangga di kediaman pasangan itu di Taman Kosas, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Ehak berkata, mangsa membuat laporan terhadap suaminya yang berusia 21 tahun pada jam 9.30 malam Selasa, 17 Ogos 2021.
Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek yang kemudian direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
Siasatan awal mendapati, pasangan itu berkahwin pada Oktober 2020 dan dikurniakan seorang anak. Pada hari kejadian, mangsa dipercayai telah menegur suspek yang kerap pulang lewat malam.
Mangsa juga meminta untuk memeriksa telefon bimbit suaminya tetapi suspek tidak mengizinkan lalu tercetus pergaduhan di mana suspek telah menyebabkan mangsa terjatuh sehingga mengalami lebam di lengan kiri dan kanan, selain cedera di bahagian lutut.
Kejadian itu turut disaksikan oleh ibu mangsa yang tinggal berhampiran lalu segera bertindak meleraikan pergaduhan tersebut sebelum membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Sumber: Harian Metro
0 Komentar