'Anak saya tak nak belajar, tengok telefon saja' - Bapa pukul anak didenda RM4,000
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenakan denda RM4,000 terhadap seorang bapa yang memukul anak perempuannya sehingga lebam.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 39 tahun itu mengaku bersalah atas perbuatannya itu yang dilakukan pada jam 12 tengah hari, 8 November 2021, di rumahnya di Setapak.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh mengetuk kaki kira anak perempuannya berusia 10 tahun 11 bulan, memukul kepalanya dengan penyapu sehingga melecet serta memulas tangannya ke belakang sehingga lebam.
Apabila ditanya mengapa tertuduh berbuat demikian, dia menjawab, "Anak saya tak nak belajar, tengok telefon sahaja".
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri sebelum itu memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh kerana sebagai seorang bapa, dia sepatutnya melindungi anaknya, bukan mencederakannya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman denda dengan alasan sudah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu lagi.
"Isteri saya sudah meninggalkan saya, jadi saya yang perlu menjaga anak serta ibu bapa saya," katanya.
Sumber: Harian Metro
0 Komentar