'OKT (Siti Bainun) belum dibuktikan bersalah, tapi sudah ada komen berbentuk menghina mahkamah' - Hakim tegur netizen
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, membuat teguran kepada orang awam yang didapati membuat komen di media sosial berhubung kes penderaan remaja sindrom down, Bella, 13, yang sedang dalam perbicaraan ketika ini.
Hakim Izralizam Sanusi berkata, perjalanan kes itu masih jauh dan Orang Kena Tuduh (OKT - Siti Bainun) juga belum dibuktikan bersalah. Tetapi netizen sudah melemparkan komen berbentuk subjudis, menghina mahkamah dan fitnah.
"Mahkamah akur rakyat Malaysia mempunyai kebebasan bersuara, namun perlu diingatkan terdapat undang-undang berkuatkuasa yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu di Malaysia yang boleh dikatakan melampau dalam penulisan, hantaran dan komen.
"Apa yang jelas, diingatkan kepada semua kebebasan bersuara tertakluk kepada undang-undang ditetapkan termasuk menghina mahkamah dan fitnah. Selain itu, terdapat juga akta yang mengawal hantaran di media sosial yang boleh mana diadukan oleh pihak pendakwa raya dan dianggap melanggar undang-undang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Oleh itu, mahkamah ingin memberi amaran dan peringatan kepada orang awam termasuk di galeri ini supaya tidak membuat komen berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.
"Peguam mempunyai etika dan terikat, orang awam dan wartawan juga boleh memainkan peranan penting yang mengikuti kes ini berdasarkan undang-undang sedia ada, jangan buat komen-komen mengganggu.
"OKT pun belum dibuktikan bersalah, kita masih jauh perjalanan untuk memanggil saksi lain. Simpan komen itu yang berbentuk menghina, subjudis, fitnah untuk diri sendiri, jangan sebarkan untuk mendapatkan followers sehingga menjejaskan perjalanan kes ini," katanya.
Amaran dan teguran itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nor Azizah Mohamad memaklumkan terdapat hantaran di media sosial yang tidak sepatutnya berhubung perjalanan kes Bella dan memohon mahkamah memberi amaran kepada orang awam agar tidak memuat naik sebarang komen yang boleh memberikan subjudis kes pendakwaan dan OKT.
Sumber: Harian Metro
0 Komentar