'Allahu, duit bayar kereta 3 bulan lesap' - Ibu hamil terkilan, wang simpanan RM3,924 dalam akaun Maybank hilang
Seorang wanita yang bekerja sebagai makeup artist (MUA) mendakwa wang simpanannya sebanyak RM3,924.85 dalam akaun Maybank, hilang tanpa dapat dikesan.
Mangsa, Zahira Zyra, berkata dia hanya menyedari kehilangan wang simpanannya ketika menyemak baki dalam akaun tersebut yang hanya tinggal RM24.85, lalu segera membuat laporan polis dan aduan kepada pihak bank berkenaan.
Menurut Zahira, dia tidak menerima sebarang mesej nombor TAC dari pihak bank bagi tujuan pengeluaran wang secara online. Wang simpanan itu pula dikumpulnya bagi tujuan pembayaran bulanan kereta semasa tempoh dia bercuti bersalin kelak.
"Lepas duit aku dalam Maybank, pagi tadi baru perasan tinggal RM24.85 je. Yang pelik, OTP/TAC tak dapat, tetapi duit dah hilang. Akaun Maybank ini memang aku tak guna sangat, cuma untuk bayar duit kereta je setiap bulan. Memang tak ada shopping menggunakan kad ni.
"Sebab aku tahu, Ogos-September-Oktober aku bakal bercuti bersalin/pantang, aku simpan duit kereta untuk tiga bulan terus. Tak sangka, hilang. Menangis teruk untuk dugaan kali ini.
"Aku kerja bagai nak mampos, sakit tulang belakang, boleh-boleh je orang nak sapu duit aku. Pihak bank kata diorang akan siasat akaun penerima itu (Nurul Alya).
"Pelik sangat, tak ada request TAC langsung pada hari duit yang hilang tu. Last pengeluaran wang RM1,000 pada 11 Mei dan had pengeluaran hanya RM1,000 sehari. Macam mana dia boleh ambil RM2,500 dan RM1,400 pada hari seterusnya tanpa perlu meminta kebenaran membuat pemindahan wang?" ujarnya.
Dengan kerjanya yang kurang mendapat permintaan pada waktu ini, ditambah pula dengan keadaan dirinya yang sarat mengandung dan terkena dugaan seperti ini membuatkan Zahira sebak dan sedih. Sedangkan dia tidak pernah melayan mana-mana panggilan scammer, apatah lagi menekan link-link yang mencurigakan di telefon bimbit.
Zahira kini hanya mampu berharap pihak berkuasa dan bank menjalankan siasatan yang telus dan mengembalikan wang miliknya
Sumber: Zahira Zyra
0 Komentar