'Bagi pihak kerajaan negeri, saya mohon maaf kepada mangsa banjir tapi tak bermaksud saya akui kesilapan' - Sanusi
Foto Media Mulia |
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam secara terbuka memohon maaf kepada semua penduduk yang terjejas akibat tragedi banjir dan kepala air berlaku di Kupang, Kedah pada 4 Julai lepas.
Katanya permohonan maaf itu dibuat atas sifat kemanusiaan serta rasa tanggungjawab yang dipikulnya sebagai ketua kerajaan.
Untuk rekod kejadian itu turut mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu yang hamil empat bulan.
Katanya, permohonan maaf itu juga adalah mewakili kerajaan negeri semasa serta pentadbiran sebelum ini sekiranya wujud kesilapan secara tidak langsung yang dikatakan menjadi sebab kepada tragedi berkenaan.
"Sebagai manusia, atas sifat kemanusiaan... bagi pihak kerajaan negeri sekarang ini, saya mohon maaf kepada semua penduduk yang terjejas.
"Tiada siapa berniat untuk mendatangkan bencana kepada sesiapapun tetapi kesannya di luar jangkaan... takkan nak berkeras sampai bila-bila, orang sudah hadapi bencana walaupun pada pandangan kita, kita dah ambil keputusan yang terbaik," katanya dalam sidang media di Baling semalam.
Terdahulu Sanusi menghadiri majlis penyampaian bantuan Wang Ihsan Sewa Rumah kepada 17 mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat bencana berkenaan, di Pejabat Daerah Baling.
Sanusi berkata, permohonan maaf itu bukanlah bermaksud dia mengakui keseluruhan kesilapan berpunca daripada kerajaan negeri semasa, sebaliknya ia dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap rakyat negeri terbabit.
"Tidak bermaksud saya mengakui kesilapan secara keseluruhannya, tidak ada siapa yang minta bencana ini terjadi, termasuklah tragedi yang berlaku di Gunung Jerai, Yan tahun lalu.
"Bagi pihak kerajaan negeri, kita minta maaf kerana sebagai kerajaan kita patut melindungi rakyat.
"Kita tak dapat jangka perkara itu akan berlaku... saya tidak fikir siapa yang salah, cuma sebagai manusia setinggi manapun kedudukan dan pangkat kita, kita sangat kerdil sebagai makhluk dan sangat terbatas, atas kelemahan-kelemahan sebagai manusia, kita minta maaf tak dapat melindungi rakyat sepenuhnya," katanya.
Terdahulu, pada majlis itu kesemua 17 keluarga terbabit menerima wang tunai RM3,000 sebagai bantuan sewa rumah dan utiliti untuk tempoh enam bulan.
Sumber: Bernama
0 Komentar