'Kalau wartawan buat silap, artis jadi kambing hitam?' - Tauke Jambu tak setuju Dato' Hattan digesa mohon maaf

May 01, 2023

'Kalau wartawan buat silap, artis jadi kambing hitam?' - Tauke Jambu tak setuju Dato' Hattan digesa mohon maaf



Pelawak Tauke Jambu atau nama sebenar Zamatul Amri Zakaria, 47, tidak bersetuju dengan tindakan Persatuan Wartawan menggesa penyanyi Dato' Hattan untuk memohon maaf disebabkan isunya menempelak penyampai berita Astro Awani semasa siaran langsung. 


Menurut Zamatul, sekiranya situasi sebaliknya berlaku, mengapa tiada pula wartawan yang memohon maaf apabila tersilap dalam membuat laporan mengenai artis. 


"Saya memang tak berapa setuju dengan cara Dato' Hattan 'mengkritik' wartawan tersebut. Tetapi saya pun tak setuju kalau artis kena mohon maaf kalau buat silap. 


"Kalau wartawan buat silap, artis jadi kambing hitam? Apa cerita? Hidup kena adil, cerita buruk artis saja keluar. Apa masyakarat memang suka baca perihal keburukan dari kebaikan? Mana pergi banyak persatuan insan-insan seni?" katanya menerusi hantaran di Instastory semalam. 


Walau bagaimanapun, Zamatul kagum dengan semangat persatuan wartawan yang bertindak pantas dalam mempertahankan ahlinya. 


"Saya kagum dengan persatuan wartawan, kalau ahlinya ditindas atau diperlakukan tak elok, mereka sama-sama berjuang. 


"Tetapi artis mostly selfish! Kalau kena, lantak kaulah. Dari sekarang kena fikir geng, semua kena kerjasama. Mereka (wartawan) menulis adakalanya penyebab kepada keruntuhan rumah tangga seseorang, hilang punca rezeki dan macam-macam. 


"Kalau nak kenyang, biar sama-sama kenyang. Jangan awak kenyang, orang lain kebulur," ujarnya.


Bagi Zamatul, kemunculan awal penulisan media adalah untuk membela masyarakat daripada ditindas dan dizalimi. Tetapi di era moden, perkara itu tidak berlaku lagi. Sebaliknya menjadi bisnes dan adakalanya fakta dimanipulasi demi mengaut keuntungan. 


"Contohnya kalau saya cerita buruk tentang awak dan saya jaja cerita itu satu kampung. Apa yang awak rasa?


"Kalau awak kuat, awak cari dan nak tibai saya. Betul tak? Kalau awak lemah, awak menangis seorang diri di bucu katil. Agak-agaknya siapa yang nak bela dan pujuk awak? 


"Begitulah perasaan orang yang 'dijual' ceritanya," kata Zamatul. 


Previous
Next Post »
0 Komentar