'Ibu minta maaf jika terkasar' - Anak merajuk tak pulang ke rumah selepas ditegur supaya kemaskan rumah
"Ibu minta maaf jika terkasar," demikian rayuan Hasanatul Khalikah Ali, 39, kepada anak sulungnya yang dilaporkan tidak pulang ke rumah semenjak Jumaat lalu.
Terdahulu, Hasanatul menyangka anaknya, Nur Ainin Sufiah Mohd Adam, 17, hanya keluar ke rumah kawannya. Tetapi sehingga kini remaja itu langsung tidak pulang ke rumah, malah tidak dapat dihubungi.
Menurut Hasanatul, pada hari kejadian, anaknya keluar dari rumah selepas dia menegur Ainin supaya mengemas rumah dengan nada suara yang agak tinggi.
"Selepas itu saya nampak dia keluar bawa beg, tapi taklah terfikir dia nak lari. Mungkin agaknya dia merajuk dengan saya," katanya.
Hasanatul juga sudah mencuba beberapa kali menghubungi Ainin termasuk melalui WhatsApp, tetapi tiada sebarang respon yang diterima menyebabkan dia bimbang dan terus bertanya tentang Ainin di group WhatsApp sekolah.
"Kawan Ainin beritahu, anak saya selamat dan kini berada di rumah ibu tirinya di Port Dickson. Paling saya risau apabila dia cakap nak pergi ke Johor.
"Saya nak cari Ainin pun tak tahu alamat rumah ibu tirinya di mana. Saya betul-betul risau kerana dia perempuan dan berada di bawah tanggungjawab saya sebagai ibu kandung sejak ayahnya meninggal dunia Jun lalu.
"Sebagai seorang ibu, saya menegurnya demi kebaikan. Lagipun dia anak sulung dalam lima beradik dan menjadi harapan saya.
"Saya mohon kepada sesiapa yang ternampak Ainin supaya menghubungi 011-20701969 kerana saya terlalu risaukan keadaannya," katanya.
Difahamkan, Hasanatul juga telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, kelmarin berhubung kehilangan anaknya itu.
Sumber: Sinar Harian
0 Komentar