Wanita dilaporkan hilang sejak 2019, rupa-rupanya berkahwin dengan lelaki berusia 60-an & tinggal di Pasir Mas
November 2019, seorang wanita dari Kota Bharu, Kelantan, mendakwa dia mendapat tawaran bekerja di Putrajaya. Wanita berusia 26 tahun itu kemudian dihantar oleh bapanya ke bas stesen untuk menaiki bas ekspres ke pusat pentadbiran kerajaan itu.
Bagaimanapun, wanita itu terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi. Bimbang dengan keselamatan wanita berkenaan, ahli keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Ketereh pada tahun yang sama.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, ahli keluarganya hanya berjaya menghubunginya sekali sahaja dalam tempoh itu dan gagal dikesan selepas itu.
Bapanya pernah pergi ke Putrajaya untuk mencari anaknya, tetapi dia dimaklumkan anaknya tidak pernah datang ke premis tersebut.
Hasil maklumat dan risikan yang dibuat, wanita itu berjaya ditemui di sebuah rumah di Kampung Perupuk, Pasir Mas, yang dihuni bersama pasangan suami isteri berusia 60-an.
Difahamkan, wanita berkenaan berkenalan dengan lelaki warga emas itu sebelum menghilangkan diri tiga tahun lalu. Apabila pihak berkuasa pergi menjemputnya, lelaki warga emas itu tiada di rumah, hanya wanita yang dipercayai isterinya sahaja berada di rumah bersama dengan mangsa.
Ketika disoal siasat, mangsa mendakwa dia sudah berkahwin dengan lelaki berusia 60-an itu dan mereka berkahwin di Thailand hampir tiga tahun lalu.
"Pada masa sama, wanita terbabit turut mendakwa tinggal di beberapa lokasi di Kelantan sebelum ini termasuk di Kuala Krai dan Pasir Mas sebelum ditemui pihak polis," katanya.
Keadaan mangsa masih belum stabil dan polis tidak mahu menekannya untuk mendapatkan keterangan mengenai apa sebenarnya yang berlaku terhadapnya dalam tempoh tiga tahun kehilangannya.
Polis kini sedang giat mengesan pasangan warga emas terbabit yang dipercayai telah menghilangkan diri.
Sumber: Harian Metro
0 Komentar