Najib enggan ulas mengenai dakwaan berkahwin baru, selesai bicara terus balik rumah
Bekas perdana menteri Najib Razak yang ditemui pihak media hari ini dilihat enggan mengulas mengenai gambar yang membabitkan dirinya yang didakwa telah membuka 'cawangan baru'.
Ahli Parlimen Pekan berkenaan menjadi bahan perbualan ramai selepas Ketua Armada Bersatu mengucapkan tahniah kepadanya baru-baru ini di Facebook, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Sebaik saja selesai perbicaraan berhubung dakwaan dia dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy terbabit dalam meminda laporan audit firma pelaburan negara itu, Najib terus berjalan ke arah keretanya di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.
Sebaik saja masuk ke kereta, beliau terus beredar dari perkarangan mahkamah dan pulang ke rumah.
Najib sebelum ini pernah dikatakan berkahwin dengan seorang wanita berusia 50-an. Wanita itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.
Sementara itu di media sosial, ramai netizen tidak melepaskan peluang mengucap tahniah kepada Najib dan sesekali mempersoalkan apakah benar dakwaan itu.
Tidak kurang juga ada yang mempertikaikan kesahihan gambar tersebut yang dipercayai telah disunting ekoran postur tangan wanita berkenaan kelihatan kabur.
Sumber: MalaysiaKini
0 Komentar