Menghina agama Islam dan bangsa Melayu, Pengasas Crackhouse Comedy Club ditahan polis
Pengasas Crackhouse Comedy Club ditahan polis pada jam 1.30 tengah hari Khamis, bagi membantu siasatan berhubung seorang wanita yang menggunakan pentas kelabnya untuk menghina agama Islam, baru-baru ini.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman.
"Tangkapan dan siasatan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman," kata sumber.
Pengasas kelab itu juga ditahan susulan pihak polis menerima beberapa laporan terhadapnya berhubung dakwaan menghina bangsa Melayu ketika membuat persembahan komediri di premis sama.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dijangka akan mengeluarkan kenyataan mengenai kes itu dalam masa terdekat.
Terdahulu, Timbalan Menteri Wilayah, Jalaluddin Alias memaklumkan premis kelab itu beroperasi di Taman Tun Dr Ismail tanpa lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017. Sebaliknya mereka hanya diberi lesen restoran dan minuman keras sahaja.
Semalam, Semboyan Malaysia yang diketuai oleh Yusuf Azmi juga menggesa pihak berkuasa menutup premis itu serta-merta kerana pemiliknya didapati menghina agama Islam dan bangsa Melayu dalam persembahannya.
Sumber: Harian Metro
0 Komentar