Ibu tiri paksa minum air panas sampai melecur bibir

February 12, 2018

Ibu tiri paksa minum air panas sampai melecur bibir


Tergamak seorang wanita memaksa anak tirinya berusia tujuh tahun minum air panas yang masih menggelegak sehingga menyebabkan bibirnya melecur teruk, lapor Harian Metro. 

Kejadian itu hanya disedari oleh ibu kandungnya selepas mangsa diambil dari rumah adik bekas suaminya, Jumaat lalu. 

Difahamkan, mangsa yang merupakan anak bongsu dari empat adik beradik dihantar pulang ke rumah bekas suaminya di Lenggeng, Negeri Sembilan, Isnin lalu.

Bagaimanapun ketika si ibu mengambil anaknya dari rumah bekas adik iparnya pada jam 12.30 tengah hari Jumaat lalu, dia mendapati seluruh bahagian bibir anaknya melecur teruk. 

"Ketika saya hendak menjemputnya bercuti di rumah, saya dapati terdapat kesan melecur di seluruh bahagian bibir anak saya. Apabila saya bertanyakan punca kesan lecur itu, anak saya memberitahu dia dipaksa minum air panas yang sedang menggelegak," katanya.

Katanya, dia terkejut dan tidak menyangka bahawa anaknya akan diperlakukan seperti itu. Dia kemudian membawa anaknya pergi mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

"Hati ibu mana yang tidak sayu apabila anak kandungnya sendiri diperlakukan sedemikian rupa oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan tidak memberikan kasih sebagai seorang ibu.

"Sebelum ini, apabila saya membawa anak ketiga dan bongsu ke rumah, mereka akan berasa sangat gembira, namun ketika hendak menghantarnya kembali ke rumah suami, semua anak-anak saya menangis dan minta tidak dihantar kembali ke sana," katanya.

Difahamkan, pasangan berkenaan telah berpisah pada 2011 dan hak penjagaan anak-anak diserahkan kepada suami kerana dia mengalami masalah kewangan. Namun selepas bekas suami mendirikan rumah tangga pada Disember 2016, banyak perubahan yang berlaku secara mendadak ke atas empat anak perempuannya termasuk anak sulung berusia 14 tahun, 13 yang kini berada di asrama, 8 tahun dan 7 tahun. 

"Pada masa ini, isu hak penjagaan anak sedang berlangsung di Mahkamah Syariah, namun sekiranya kes ini mengambil masa yang panjang, saya khuatir sesuatu yang lebih buruk akan berlaku ke atas anak-anak saya.

"Masalah mula timbul apabila saya membawa anak saya tinggal bersama saya, pihak polis akan menghubungi saya dan mengarahkan saya membawa anak saya pulang ke Lenggeng, malah saya juga pernah ditahan di lokap selama tiga hari atas kesalahan berkenaan.

"Apabila saya membuat laporan polis, tiada tindakan susulan atau penyelesaian dicapai kerana pegawai penyiasat IPD Nilai menganggap perkara ini adalah masalah rumah tangga berdasarkan laporan-laporan yang pernah dibuat sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan daripada ibu mangsa yang dibuat pada jam 7.30 malam Sabtu lalu. Bagaimanapun kes didapati berlaku di Lenggeng dan akan disiasat oleh pegawai penyiasata di IPD Nilai. 

Sumber: Harian Metro

Previous
Next Post »
0 Komentar