'Kalau ada rezeki, kita nak Najib jadi Perdana Menteri lagi' - Ellie Suriaty
Ellie bersama kira-kira 50 orang penyokong Najib yang menunggu di perkarangan mahkamah sehingga mencetuskan kekecohan yang tidak sepatutnya berlaku sebelum dileraikan oleh pihak polis.
Dalam kenyataan kepada mStar Online, Ellie menegaskan bahawa dia mempunyai hak untuk memilih parti politik selain bebas menyokong mana-mana pemimpin. Malah, dia tidak kisah dengan persepsi netizen terhadap tindakannya itu.
"Kita berada dalam negara demokrasi. Saya berhak untuk memilih parti politik dan berhak untuk menyuarakan pandangan.
"Kalau netizen nak cakap negatif, itu pandangan mereka. Terpulang kepada mereka dan saya tak boleh nak kata apa.
"Saya anak seni dan kerjaya saya tak terikat dengan kerajaan. Malah, saya juga terima diri sebagai pembangkang.
"Saya datang untuk memberi sokongan moral kepada perdana menteri keenam yang pernah mentadbir negara supaya beliau tahu yang masih ada ramai lagi rakyat Malaysia menghargai kepimpinan dia," katanya.
Mengulas mengenai penahanan Najib, Ellie mengkritik tindakan SPRM itu tidak beretika dan tidak menghormati Najib yang pernah menjadi pemimpin negara.
"Tidak adil untuk dilayan sebegitu. Malah, dituduh dan difitnah dengan perkara yang dah terang-terangan salah. Saya berharap beliau dibicarakan secara adil," katanya.
Dalam laporan MalaysiaKini pula, Ellie memuji kepimpinan Najib yang disifatkannya sebagai pemimpin terbaik dalam membawa negara ke peringkat tertinggi.
Dalam nada sebak dia berkata, sepanjang Najib menjawat jawatan nombor satu itu, beliau sentiasa menjaga kebajikan bangsa Melayu dan agama Islam termasuk suka menderma tanpa menunjuk-nunjuk kepada semua orang.
"Kalau ada rezeki, kita nak dia jadi perdana menteri kita lagi kerana kecemerlangan dia dalam kepimpinan tak ada tolok bandingnya. Setiap perdana menteri ada keistimewaan masing-masing tapi dia ada keistimewaan yang sangat berjiwa rakyat dan itu samalah dengan sikap bapa dia.
"Selalu pun kalau dalam apa-apa bidang kita tak dapat acuan, ayah, anak. Sekali-sekala kita akan dapat acuan itu dan acuan itu dalam Tun Razak," katanya.
"Bagi saya, kenapa layan pemimpin yang bagus macam tu. Saya pernah jumpa dia pada satu majlis mengenang budi, saya nak lihat dia dari dekat. Saya tak percaya orang boleh buat dia macam tu.
"Saya rasa pemerintahan sekarang paranoid sebab saya nak tahu benar-benar sistem demokrasi berjalan sekarang sebab saya rasa sangat teruk dan adakah rule of law akan dipraktikkan seperti sebelum ini," katanya.
Sementara itu di media sosial, netizen berpandangan Ellie bukan sahaja buta mata, tetapi buta hati. Ini kerana kata netizen, tiada pernah dalam sejarah Perdana Menteri Malaysia yang dikaitkan dengan begitu banyak skandal.
0 Komentar