'Diorang kata nak datang beraya, last-lasti dia terpaksa makan sendiri' - Keluarga kesal anak ditipu rakan-rakannya
Keterujaan seorang remaja lelaki meyambutkan kedatangan rakan-rakan ke rumah untuk beraya terpaksa dilupakan apabila rakan-rakannya itu tidak kunjung tiba seperti yang telah dijanjikan. Perkara yang menyedihkan itu dikongsikan oleh kakak kepada remaja berkenaan, Fatana, melalui Instastorynya sebelum tersebar di media sosial.
Menurut Siti, rakan-rakan adiknya Mohd Amar Haziq Rizal Effendi, 14, sudah berjanji nak datang beraya ke rumah dan ibu mereka telah membuat persiapan awal dengan memasak hidangan untuk tetamu. Malangnya, perkara yang ditakutkan itu terjadi juga akhirnya.
"Kawan-kawan adik saya janji nak datang beraya di rumah, tapi akhirnya mereka langsung tak datang tanpa khbar berita.
"Makanan dah siap, adik saya dah teruja dah. Kesian dia. Inilah sebabnya dia tak suka berkawan," katanya.
Ibunya, Siti, 44, Haziq sangat teruja apabila rakan-rakannya mahu datang beraya ke rumah pada jam 8.30 malam, Jumaat lalu. Malah, dia turut memasak hidangan untuk rakan-rakan anaknya.
"Haziq itu sebenarnya tak ramai kawan, dia ni pemalu orangnya. Dia tak memilih kawan, tapi hanya berkawan dengan mereka yang 'sekepala' dengan dia.
"Bila kawan dia nak datang beraya dan ajak rakan-rakan lain, dah tentu Haziq gembira dan teruja. Patut Selasa, tapi mungkin cakap-cakap saja. Kemudian mereka janji untuk datang pada Jumaat.
"Banyak kali dan setiap hari jugalah Haziq mengingatkan saya tentang kawan-kawan dia nak datang beraya. Bila orang nak datang, saya masaklah apa yang patut. Takkan nak bagi mereka makan kuih raya saja," katanya.
Malangnya, rakan-rakan Haziq tidak menampakkan kelibat mereka pada waktu yang telah dijanjikan sebelum cuba menghubungi mereka, tetapi tiada sebarang respon yang diterima.
"Anak saya dah telefon, mesej tapi tak dapat. Langsung tak ada khabar berita. Tapi Haziq tetap tunggu kawan dia sebab dah janji nak datang.
"Sampai dia lama tercongok di depan pintu rumah. Bila saya tanya, "Haziq, mana kawan-kawan tak sampai lagi ni?", dia cuma jawab, "Tak tahulah ibu".
"Banyak yang saya masak, ada bihun, cendawan tepung dan bubur kacang untuk kira-kira 10 orang makan. Saya tak tahu berapa ramai kawan dia. tapi Haziq kata ramai juga yang nak datang.
"Dari jam 8.30 malam sampai hampir ke tengah malam Haziq menunggu. Sampai esoknya masih senyap tak ada khabar berita," katanya.
Ekoran dari tindakan tidak bertanggungjawab rakan-rakan Haziq itu, hidangan yang telah dimasak itu terpaksa diberikan kepada jiran-jiran untuk mengelakkan pembaziran.
Siti berkata, dia tidak terkilan dengan tindakan rakan-rakan anaknya itu kerana mungkin mereka ada alasan tersendiri. Namun, dia lebih bersimpati dengan anaknya yang mengharapkan kedatangan rakan-rakannya, lebih-lebih lagi malam itu sepatutnya menjadi kunjungan pertama rakan-rakannya datang beraya tahun ini.
"Dia tak ramai kawan, bila ada kawan nak datang, dia teruja. Tapi jadi macam ini pula. Biasalah budak-budak, buat rancangan untuk beraya. Kalau janji nak datang, datanglah, jangan main-main. Kalau ada sebab tak dapat datang, tak apa. Tapi sekurang-kurangnya beritahu awal, jangan buat orang tertunggu-tunggu," katanya yang juga memaafkan tindakan rakan-rakan Haziq.
Sumber: mStar Online
0 Komentar