'Saya tahu Adam Rayqal akan tunggu kami di syurga'

July 04, 2018

'Saya tahu Adam Rayqal akan tunggu kami di syurga'


"Saya tahu Adam Rayqal akan tunggu kami di syurga," demikian kata Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, bapa kepada bayi berusia lima bulan yang maut akibat kecederaan di kepala dan mayatnya disorok di dalam bahagian sejuk beku peti sejuk di rumah pengasuhnya, lapor Berita Harian

Dalam keadaan yang masih bersedih dengan tragedi yang menimpa Adam, Mohd Sufi menzahirkan rasa terima kasih terhadap keperihatinan rakyat Malaysia yang membantu mencari anaknya sebaik dilaporkan hilang dari rumah pengasuh. 

"Saya selaku ayah Adam Rayqal mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sudi membantu pencarian anak kami.

"Walaupun kita tahu kita mengharap yang terbaik untuk jumpa Adam Rayqal tetapi Allah lebih sayangkan dia.

"Kalau ada yang share (kongsi) gambar yang tidak sepatutnya, minta tolong hormati privasi arwah Adam Rayqal," katanya. 

Jenazah Adam telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam jam 10.30 malam tadi. Sebelum itu, jenazah Adam tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada jam 9.53 malam untuk solat jenazah. 

Lebih kurang 1,000 orang yang hadir termasuk ahli keluarga, penduduk setempat dan suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan berkenaan sepanjang proses pengebumian Adam. 


Terdahulu, mayat bayi berkenaan dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dari jam 9.45 pagi sehingga jam 1 tengah hari semalam. Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa  menemui kesan retak di tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan di bahagian kanan otaknya. Namun polis masih menyiasat bagaimana kejadian itu berlaku.

Selesai dibedah siasat, jenazah Adam kemudian dimandi dan disembahyangkan di surau IPFN HKL pada jam 2.15 petang dan dibawa keluar pada jam 3.06 petang.  Sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Terengganu, jenazah yang dibalut dengan kain batik dipangku oleh ibunya menaiki kereta Honda Jazz. 

Previous
Next Post »
0 Komentar