Menantu samun rantai emas ibu mentua

November 04, 2018

Menantu samun rantai emas ibu mentua


'Menantu hantu!', itulah gelaran yang sesuai untuk suspek yang tergamak menyamun rantai emas milik ibu mentuanya sehingga menyebabkan mangsa cedera teruk, lapor Harian Metro

Dalam kejadian jam 11.15 pagi Sabtu di Kampung Bukit Kapar, Klang, suspek berusia 43 tahun dipercayai masuk ke dalam bilik tidur sebelum menarik rantai leher yang berada pada badan mangsa. 

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami retak tulang lengan serta bengkak di pipi akibat bergelut dengan suspek. 

Suspek serta merta melarikan diri dengan sebuah motosikal sebelum ahli keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS). 

Suspek kemudian ditahan di sebuah rumah di Taman Meru pada jam 2.30 pagi Ahad. Turut ditahan, isteri kepada suspek berusia 47 tahun, yang juga anak kepada mangsa. 

"Siasatan mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah. 

"Suspek mengaku menyamun mangsa dan isterinya turut ditahan kerana bersubahat dalam kejadian itu. 

"Polis kini sedang berusaha mengesan pembeli kepada rantai emas berkenaan yang didakwa sudah dijual," katanya.

Previous
Next Post »
0 Komentar