(Video) 'Dia pukul anak saya dulu!' - Ibu terkam dan campak budak kasari anaknya

December 12, 2018

(Video) 'Dia pukul anak saya dulu!' - Ibu terkam dan campak budak kasari anaknya


Polis di China menjalankan siasatan selepas seorang wanita dirakam mengasari kanak-kanak perempuan hanya kerana mangsa bergaduh dengan anak lelakinya, Jumaat lalu.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari lokasi kejadian di Nanning, Guangxi menunjukkan, wanita itu berdepan dengan nenek mangsa sebelum menerkam leher dan mencampak mangsa ke dalam timbunan bola plastik. 

Wanita itu enggan meminta maaf kepada keluarga mangsa dan ini memaksa mereka melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. 

Difahamkan, dua kanak-kanak itu bermain bola plastik di pusat hiburan kanak-kanak. Namun mereka dilaporkan bergaduh kerana berebut barang mainan. 

Suspek yang ternampak kejadian itu terus meluru ke arah mereka. Mangsa segera berlari dan berlindung di depan neneknya, Tang, sebelum dihampiri oleh suspek dengan anak lelaki yang dikendong di tangan kiri. 

Tang berkata, suspek mendakwa cucunya memukul anak lelakinya. 

"Saya ikhlas memohon maaf kepada dia dan berkata, anak-anak ini masih kecil. Tetapi dia kemudian menerkam leher cucu saya dan mencampaknya ke dalam timbunan bola itu," katanya, lalu dia terus memaklumkan perkara itu kepada ibu mangsa. 

Ibu mangsa, Yin, berkata, "Saya cuba menyelesaikan masalah ini dengan cara baik, namun sikap panas baran wanita itu tidak dapat dibendung. Dia menegaskan dia hanya bertindak mempertahankan anaknya dan mendakwa anak saya yang mula memukul anak dia," katanya. 

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesan luka di bahagian leher berpunca dari kuku suspek. 

Yin segera melaporkan perkara itu kepada polis dan kini kes itu dalam siasatan. 


Sementara itu, netizen menyelar sikap suspek dan mendakwa dia tidak memberikan contoh yang baik kepada anaknya sendiri. 

"Alasan mempertahankan diri? Alasan apa tu? Budak perempuan itu langsung tidak memberi ancaman kepada dia," kata netizen. 

Sumber: Daily Mail

Previous
Next Post »
0 Komentar