Gadis lumpuh separuh badan selepas tindik hidung, terpaksa berkerusi roda seumur hidup
Seorang gadis dari Brazil terpaksa menggunakan kerusi roda seumur hidupnya selepas lumpuh separuh badan akibat jangkitan bakteria ketika menindik hidungnya pada Julai 2018.
Menurut Layane Dias, 20, berkata, lubang tindik di hidungnya itu berdarah dan bengkak pada mulanya dan dia menyangka tiada sebarang masalah yang serius dan ia hanyalah perkara biasa.
Namun, Layane kemudian mengalami demam beberapa hari dan selepas pulih, dia mula merasa kesakitan yang serius di bahagian kakinya.
Kesakitan di kakinya itu kemudian menyebabkan kakinya tidak merasa apa-apa. Keadaan itu membuatkan dia tidak dapat berjalan seperti orang biasa.
Layane cuba mendapatkan rawatan di hospital. Setelah didiagnosis, doktor menemui bakteria Staphylococcus di dalam aliran darahnya.
Layane berkata, doktor ada bertanya kepadanya jika dia ada mengalami sebarang kecederaan di hidungnya kerana bakteria itu kebiasaannya ditemui di bahagian itu.
Layane kemudian mengakui ada menindik hidungnya seminggu sebelum kejadian itu berlaku.
"Saya ingatkan ia bengkak biasa, tetapi ia menyebabkan saya demam. Saya rawat sendiri dan letak krim di atasnya. Seminggu kemudian ia hilang.
"Tetapi saya tidak dapat merasa apa-apa dari bahagian dada ke bawah kaki," kata Layane.
Berikutan itu, Layane terpaksa menjalani pembedahan kecemasan dan pakar neuro, Oswaldo Ribeiro Marquez berkata, sepanjang 15 tahun berkhidmat dalam bidang perubatan, dia tidak pernah melihat kes seperti ini yang berpunca dari menindik hidung.
Pembedahan itu berjaya menghalang jangkitan itu merebak tetapi Layane tidak dapat menggunakan kedua-dua belah kakinya seperti sebelum ini.
Setelah dua bulan kemudian, Layane dibenarkan keluar dari hospital dan terpaksa menerima hakikat yang dia akan menggunakan kerusi roda seumur hidup.
Sumber: Daily Mail
0 Komentar