Kanak-kanak dibunuh dengan kejam kerana suspek berdendam dengan keluarganya
Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemui dalam keadaan tragis di mana tangan dan kakinya diikat selain beberapa organ dalamannya hilang.
Mayat mangsa, Siti Masitah Ibrahim, 11, ditemui beberapa orang kampung di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, jam 5 petang Sabtu lalu selepas mangsa dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu.
"Luluh dan berkecai hati saya apabila melihat keadaan anak saya seperti itu. Tangan dan kakinya diikat selain mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna (mereput) dengan kepala sudah terpisah daripada badan serta tidak berseluar.
"Beberapa organ dalamannya juga tidak dijumpai. Semasa dia hilang sejak 11 hari lalu, kami sudah mencari dia di kawasan ini tetapi tidak menjumpainya," katanya memetik laporan daripada Harian Metro.
Menurut Zaleha, sebelum anak ketiga dari empat beradik itu hilang, mangsa ada meminta duit RM1 untuk ke kedai dengan menaiki basikal dan berjanji akan pulang segera tetapi mangsa tidak kembali membuatkan Zaleha berasa bimbang lalu membuat laporan polis.
"Mengapa mereka tergamak melakukan perkara yang sebegini kejam kepada anak saya, apa dosanya?" katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek mengesahkan penemuan itu dalam keadaan tidak sempurna dan seorang lelaki warga Kemboja berusia 23 tahun telah ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan.
Suspek ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Menurut polis, suspek dipercayai mengenali keluarga mangsa dan kali terakhir mangsa dilihat bersama suspek menaiki motosikal bersama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa dibunuh oleh suspek kerana motif dendam dan marah suspek terhadap keluarga mangsa.
Mangsa dipercayai dibunuh pada 30 Januari lalu iaitu pada hari yang sama mangsa dilaporkan hilang oleh ibunya.
"Berdasarkan pengakuan suspek, Siti Masitah dipukul menggunakan kayu dan polis sudah merampas senjata yang dipercayai digunakan suspek.
"Suspek adalah kenalan kepada keluarga mangsa dan tinggal sekampung dengan keluarga Siti Masitah.
"Hasil soal siasat, pada awalnya mendapati suspek tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan mangsa. Namun soal siasat lanjut akhirnya mendedahkan pembabitannya.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati, punca kematian mangsa akibat kecederaan parah pada kepalanya. Terdapat tiga kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri dan belakang kepala.
"Punca kematian adalah disebabkan 'Probable Head Injury'. Bedah siasat mendedahkan jantina mangsa adalah perempuan.
"Ketika mayat ditemui, dia berada dalam keadaan tertiarap dan hampir reput serta tangan dalam keadaan diikat dari belakang. Kami percaya mangsa sudah mati dalam tempoh lebih tujuh hari," katanya.
Othman turut menafikan spekulasi yang mengaitkan kematian mangsa ada berkaitan dengan sindiket penjualan organ manusia berikutan beberapa organ dalaman mangsa telah hilang. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan mayat mangsa telah dimakan oleh haiwan liar.
Sumber: Harian Metro
0 Komentar