'Saya ingatkan dia nak pujuk saya' - Isteri tak sangka, suaminya (koperal) & anak bongsunya ditemui mati dalam kereta Wira

March 27, 2021

'Saya ingatkan dia nak pujuk saya' - Isteri tak sangka, suaminya (koperal) & anak bongsunya ditemui mati dalam kereta Wira


Khamis, 25 Mac 2021, mayat seorang anggota polis berpangkat Koperal ditemui bersama dengan mayat anak lelakinya di dalam kereta Proton Wira di Taman Sentosa. 


Koperal J Rajkumar, 35, dipercayai telah menembak anaknya, R Jevesh Kumar, 7, sebelum menembak dirinya sendiri, berdasarkan kesan tembakan di bahagian kepala. Polis percaya anggota terbabit mengalami masalah keluarga. 


Isterinya, S Jayathri, 38, tidak menyangka, pesanan WhatsApp yang diterima daripada suaminya itu yang mengajak untuk berjumpa, akhirnya bertukar menjadi hari yang tidak dapat dilupakan di mana suami dan anaknya itu telah mati. 


S Jayathri memaklumkan, J Rajkumar ada menghantar pesanan kepadannya untuk mengajak berjumpa tetapi setelah sejam menunggu, dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan berita yang tidak dijangkakan itu. Dia sangat terkejut dan tidak menyangka kejadian buruk itu menimpa keluarganya. 


Berkata kepada media, S Jayathri mengakui hubungannya dengan suami sebelum ini memang timbul perselisihan faham menyebabkan dia tinggal di rumah ibunya di Taman Bidara. 


"Kali terakhir saya berjumpa suami seminggu lalu kerana ada berlaku salah faham. Jadi, saya tinggal di rumah mak. Namun semalam (hari kejadian), dia beritahu mahu jumpa, saya ingat dia mahu pujuk saya. 


"Tetapi sebelum itu dia maklumkan mahu menyelesaikan kerja terlebih dahulu dan kemudian baru jumpa saya. Dia meminta anak sulung tinggal di rumah untuk menjaga nenek dan hanya membawa anak bongsu kami kononnya mahu membeli makanan. 


"Sejam kemudian saya mendapat berita kematian mereka berdua," katanya memetik laporan dari Sinar Harian. 


Bagi S Jayathri, kejadian itu benar-benar menghancurkan hatinya, lebih-lebih lagi anak yang dijaganya selama tujuh tahun dan sering dipanggil dengan nama manja, Thamby, mati begitu sahaja. 


"Jiran saya semuanya Melayu, Jevesh sangat baik dan mesra dengan semua orang. Saya tidak tahu bagaimana nak menerima semua ini. Susah senang kami hadapi bersama, kami tak pernah terpisah lama. Kalau merajuk pun, nanti dua tiga hari berbaik semula. 


"Tetapi kali ini, memang jadi serius. Tak sangka begini pengakhirannya hubungan kami sekeluarga," katanya. 


Sumber: Sinar Harian

Previous
Next Post »
0 Komentar