(Video) Penduduk serang bomba sebab lambat datang ke lokasi rumah terbakar
Viral video di media sosial beberapa anggota bomba diserang oleh orang awam kerana bengang pasukan pemadam kebakaran itu tiba lewat di tempat kejadian.
Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa, 30 Mac 2021 di Kabupaten Kutai Timur, Kalimantan Timur, Indonesia, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran yang berlaku, lalu mengarahkan anggota dan jenteranya bergegas ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, perjalanan ke tempat kejadian yang sepatutnya hanya mengambil masa yang singkat menjadi lama berikutan ada pemilik kenderaan yang meletak kereta di tepi jalan sehingga mengganggu lalu utama.
Keadaan itu menyebabkan jentera bomba tersangkut seketika sebelum sampai di lokasi. Namun, sebaik saja tiba anggota bomba diserang beberapa penduduk yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan kelewatan petugas pemadam kebakaran itu.
Video menunjukkan seorang lelaki menolak anggota bomba yang hampir menyebabkan dia terjatuh, kerana gagal mengawal perasaan. Hal itu membuatkan orang awam termasuk anggota bomba lain terus datang menghalang lelaki terbabit dari menyerang mangsanya.
Jurucakap bomba berkata, "Kepada masyarakat atau pemilik kenderaan yang tidak mempunyai petak parkir sendiri, janganlah diparkirkan di tepi jalan. Ini kerana pada waktu kecemasan seperti ini, (bantuan) kami diperlukan segera. Sedangkan banyak halangan yang kami hadapi dan salah satunya seperti ini.
"Bagaimana kami nak cepat, jalan menuju ke tempat kejadian pula terhalang. Itu saja pesanannya. Jadi kepada masyarakat dan pemilik kenderaan yang tidak mempunyai petak parkir peribadi, carilah tempat parkir yang bersesuai dan tidak menghalang laluan utama," katanya. - Agensi
0 Komentar