'Lepas baca doa makan, tiba-tiba walyatalattof?? Cerita apa ni?' - Ilmuan Agama tegur drama 'Sihir' dibuat tanpa semakan syariah

November 16, 2021

'Lepas baca doa makan, tiba-tiba walyatalattof?? Cerita apa ni?' - Ilmuan Agama tegur drama 'Sihir' dibuat tanpa semakan syariah


Pembikinan sebuah filem atau drama bukan satu perkara yang mudah. Banyak aspek yang perlu diteliti dari segi teknikal, pelakon, kostum, lokasi dan sebagainya. Olahan sebuah skrip juga perlu dikaji agar penonton dapat menerima mesej dengan baik.


Sebelum ini, drama-drama tempatan sudah banyak kali ditegur netizen kerana memaparkan babak-babak yang tidak logik dari segi perubatan. Terbaharu pula, tular di media sosial beberapa teguran mengenai dialog dalam drama yang bertajuk Sihir yang ditayangkan saluran Astro Ria. 


Menerusi babak di kedai makan tersebut, Hud lakonan Hun Hakim dan Nuh (Kamal Adli) mempelawa Ustaz Ayub (Zarul Husin) menjamu selera di kedai tersebut. Setelah membacakan doa makan dan menyebut ayat 19 dari Surah Al-Kahfi, mereka terkejut mendapati makanan tersebut menjadi ulat. 



Babak tersebut juga telah dijadikan rujukan oleh netizen dan ada yang mendakwa mereka juga telah mengamalkan ayat ini sebagai pendinding daripada terkena perbuatan sihir. Namun begitu, dakwaan ini disanggah oleh beberapa orang ustaz yang mengatakan ayat tersebut bukan digunakan untuk merawat sihir. 


“Selepas merujuk kepada beberapa kitab seperti Tafsir Al-Tabari, Tafsir Al-Qurtubi, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir Al-Alusi, Tafsir Al-Baghawi dan Tafsir Al-Munir, tidak ada ulama tafsir atau terdapat Riwayat pun yang menyebut ayat ini digunakan untuk merawat sihir.


“Begitu juga tidak ada sebarang tajribah (pengalaman) para ulama yang boleh dijadikan sandaran untuk ayat 19 dari Surah Al-Kahfi ini digunakan sebagai rawatan sihir. Andai ada, maka itu boleh digunakan untuk amalan rawatan tetapi sepanjang carian saya ia tidak ada disebutkan.


“Bahkan jika lihat kepada makna dan konteks ayat ini menceritakan tentang salah seorang pemuda Al-Kahfi yang dipesan agar berlemah lembut ketika membeli makanan setelah tidur selama 309 tahun- supaya keberadaan mereka tidak diketahui oleh orang ramai. Tidak ada tentang sihir,” tulis Ustaz Fakhri di Twitter.


Isu ini turut disuarakan oleh Ustaz Addien melalui Twitter.


“Ayat ini ayat keramat mitos besar di Nusantara. “Walyatalattof” maksudnya “Berbuatlah lemah lembut” merujuk Ashabul Kahfi disuruh berhati-hati, berlembut bila cari makanan sebab mereka diburu. Mitos merebak bila ayat ini ditanda warna merah pada Al-Quran lama. Kenapa?


“Tanda merah itu sebenarnya menunjukkan ayat walyatalattof adalah ayat yang betul-betul berada di pertengahan Al-Quran menurut majoriti ulama Al-Quran seperti disebutkan oleh Imam Ibn Ashur. [Al-Tahrir Al Tanwir 15/285]. Sampai kat orang kita yang takde ilmu terus claim ayat ajaib.


“Tanda warna merah, bergaris, simbol-simbol dalam al-Quran itu semua ada makna merujuk kepada ilmu al-Quran, ilmu tajwid dan qiraat. Bukannya ayat ajaib ayat keramat ayat rahsia. Belajar ilmu dan sejarah al-Quran dengan betul. Jangan buat al-Quran ni macam kitab ilmu magik.


“Lepas baca doa makan tiba-tiba walyatalattof??? Apa benda ni? Ajaran mana macam ni? Dahlah tak baca ayat dari awal terus skip sebut ayat tu? Sedangkan Sunnah Nabi ajar baca doa makan dengan bismillah takde baca ayat al-Quran apatah lagi sebut walyatalattof tiba-tiba???


ذا أكل أحدكم فليذكر اسم الله تعالى، فإن نسي أن يذكر اسم الله


Jika kalian makan, sebutlah nama Allah taala (baca Bismillah). Jika terlupa menyebut nama Allah maka baca 


بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ


Bismillahi awwalahu wa aakhirahu. [Riwayat Abu Daud]


“Cerita apa ni? Siapa buat skrip cerita ni? Takda semakan syariah ke skrip ni sebab cerita berkaitan agama sepatutnya kenalah semak dulu. Tolong sampaikan kat penulis skrip cerita tu atau sesiapa yang terlibat dengan cerita tu,” tulis Ustaz Addien.


Sumber: Fakhri, Addien90

Previous
Next Post »
0 Komentar