7 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam tidak membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik yang telah dikesan mengandungi racun berjadual.
Notifikasi produk-produk kosmetik yang terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk yang disenaraikan itu mengandungi 'hydroquinone' dan 'tretinoin' adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional.
“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata.
“Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif.
“Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
"Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan," katanya.
Justeru, beliau memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk tersebut agar menghentikan penjualan dan pengedaran serta-merta.
"Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
"Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," katanya.
Orang ramai yang ingin mengetahui lanjut atau jika ada sebarang persoalan boleh diemelkan kepada kosmetik@npra.gov.my.
Sumber: KP Kesihatan, Sinar Harian
0 Komentar