Polis tahan suspek rogol pengantin baharu
Seorang lelaki yang didakwa merogol pengantin baharu berjaya ditahan polis, di kediamannya di Kampung Limbong, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek berusia 17 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Pakai pada jam 11.30 malam.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.40 pagi, 5 Oktober 2018, mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai tukang masak tidur bersendirian di rumah sewa, memandangkan rakan serumahnya sudah berhenti kerja, manakala suami yang baru dikahwini beberapa bulan bekerja di Kuala Lumpur.
Suspek yang memakai topeng dan berseluar dalam memecah masuk ke rumah sewa mangsa lalu merogolnya.
Suspek turut melarikan wang tunai sebanyak RM200 dan sebuah telefon bimbit mangsa.
Difahamkan, mangsa juga bergelut dengan suspek sehingga mengalami kecederaan di bahagian paha akibat terkena gunting.
"Suspek ditahan reman bermula 21 Januari hingga sekarang. Pengadu dapat mengecam suspek berdasarkan bentuk badan dan rupanya.
"Sampel DNA suspek telah diambil untuk tindakan lanjut dan rakaman percakapan telah diambil.
"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini dan kita sedang menunggu arahan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
0 Komentar